Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) akan menambah perancangan pembangunan bagi pemain mereka dalam aspek bilangan pusat akademi tunas serta pusat latihan daerah pada tahun hadapan.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata pihak NFDP juga akan menyusun lebih banyak program jelajah ke luar negara dan skuad di bawah bimbingan Lim Teong Kim itu dijangka akan menyertai lebih banyak perlawanan peringkat antarabangsa.

"NFDP melahirkan bakat muda yang boleh dididik untuk pastikan mereka lebih maju dari segi prestasi.

"Saya lihat Teong Kim ada menggugurkan beberapa pemain dan memasukkan pemain di luar pasukan utama untuk diberi peluang beraksi untuk pasukan utama.

"Jadi ini perbezaan antara Harimau Muda dahulu dengan program NFDP kini. Tempat mereka dalam pasukan utama tidak dijamin. Setiap hujung tahun Teong Kim akan buat perubahan," katanya.

Khairy bercakap kepada pemberita selepas menyaksikan perlawanan akhir Piala Supermokh, di Majlis Sukan Negara di sini pada Ahad.

Beliau berkata jika pemain NFDP tidak tunjuk prestasi yang baik, mereka akan digugurkan dari skuad utama dan akan diganti oleh pemain lain dari akademi tunas dan pusat latihan daerah.

Mengulas mengenai prestasi skuad NFDP, Khairy berkata beliau berpuas hati dengan prestasi cemerlang yang ditonjolkan mereka dengan pasukan itu memenangi 39 kejohanan dan hanya tewas dalam tiga kejohanan bagi tahun ini.