Beliau berkata pemain berupaya memberikan tumpuan dan meraih kemenangan justeru berharap ia dapat diteruskan dalam perlawanan seterusnya bagi memburu tangga kedua liga dan tiket ke Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) musim depan.
"Saya sangat berterima kasih kepada pemain saya, kita memahami situasi tersebut (tunggakan gaji) tapi dari segi komitmen pemain, mereka tetap memberi 100 peratus komitmen dan dari segi latihan mereka tetap hadir menjalani latihan.
"Mungkin benda itu sukar tetapi pemain sudah memahami situasi yang berlaku dan mengetahui tindakan yang dilakukan pihak pengurusan yang berjanji untuk menyelesaikannya," katanya pada sidang media selepas tamat perlawanan yang menyaksikan KDA FC menewaskan Negeri Sembilan 3-0 di Stadium Darul Aman, malam tadi.
Semalam, pemilik pasukan KDA FC Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar mengesahkan pasukan itu kini berdepan masalah kewangan yang menyebabkan bayaran gaji pemain, jurulatih dan pegawai pasukan tertunggak sejak Ogos lepas.
Sementara itu, ketua jurulatih Negeri Sembilan K. Devan berkata kehilangan beberapa pemain tonggak akibat kecederaan menjadi antara faktor kekalahan pasukannya.
Beliau berkata hanya dua pemain import dapat diturunkan dan ia tidak berupaya menyekat asakan Kedah yang dilihat menguasai permainan di kesemua posisi.
"Kami ada beberapa peluang, tapi tak dapat jaringkan gol. Saya rasa kelemahan di bahagian pertahanan serta kecergasan pemain tidak berada di tahap sepatutnya menjadi punca kami tewas," katanya.
-- BERNAMA