Dalam sesi kelayakan hari ini, Khairul Idham mencatatkan masa 1 minit 57.605 saat, kedudukan yang dilihat meningkatkan peluang pelumba Honda Team Asia itu untuk menaiki podium dalam perlumbaan keenam GP musim ini.
Pelumba Itali, Fracesco Bagnaia, pada awalnya meraih petak kedua, namun akan bermula di petak kelapan selepas dikenakan penalti ekoran pusingan terakhirnya dibatalkan.
MESTI BACA: 5 fakta anda perlu tahu mengenai Khairul Idham Pawi
MESTI BACA: Perak umum insentif RM100,000 kepada Khairul Idham
Khairul Idham yang digelar Super KIP kini menduduki tangga ke-9 kejuaraan Moto3 dengan 29 mata. Awal bulan ini di GP Perancis, dia memungut dua mata lagi selepas mengakhiri perlumbaan di kedudukan ke-14.
Bagaimanapun, nasib seorang lagi pelumba Moto3 negara, Adam Norrodin, pula tidak begitu baik apabila akan bermula di petak ke-31 daripada 33 pelumba, selepas mencatatkan masa 1 minit 59.453 saat.
Imbas kembali: Super KIP juarai GP Argentina
Dalam saingan Moto2, catatan masa 1 minit 52.466 saat yang dibuat Hafizh Syahrin meletakkan pelumba Petronas Raceline Malaysia itu di petak ke-15.
Dia ketinggalan 0.501 saat di belakang Sam Lowes yang meraih petak pertama, disusuli Takaaki Nakagami dan Lorenzo Baldassarri.
Dalam saingan utama, MotoGP, Valentino Rossi beraksi cemerlang di laman sendiri untuk meraih petak hadapan dengan mencatatkan masa 1 minit 46.504.
Lima pelumba Sepanyol menguasai senarai 10 pelumba terpantas dengan Maverick Vinales mengekori rapat di petak kedua, disusuli Andrea Iannone yang mempamerkan tunggangan hebat di penghujung sesi kelayakan.