Pengarah operasinya, Lucas Mao berkata pihaknya juga bercadang untuk mengadakan kejohanan di peringkat Asia, Eropah dan Amerika Syarikat berikutan peningkatan jumlah pemain di rantau itu.
“Saya tidak boleh mendedahkan bilakah tarikh sebenar penganjuran kejohanan tersebut namun kami memang sedang merancang untuk mengadakan pertandingan yang lebih besar.
“Semuanya dalam peringkat perancangan dan masih belum lagi ada kata putus.
“Bagaimanapun, kami mempunyai jumlah pemain yang ramai di Eropah, Amerika Syarikat dan kami adalah peneraju permainan mudah alih di kedua-dua rantau ini,” katanya kepada Astro AWANI selepas menghadiri sidang media Liga Profesional Mobile Legends (MPL) Malaysia dan Singapura di sini hari ini.
Sementara itu, dalam sidang media tersebut Lucas turut mengumumkan beberapa kejohanan yang akan dilancarkan di Malaysia dan Singapura pada tahun ini iaitu Siri Cabaran Diamond Mobile Legends (MDC) dan Liga Kolej Mobile Legends (MCL).
Lucas berkata mereka akan bekerjasama dengan mana-mana persatuan e-sukan universiti dan kolej untuk menjayakan liga peringkat kampus itu.
Mobile Legends merupakan satu permainan video mudah alih atas talian multi-pemain yang dibangunkan dan diterbitkan oleh Moonton pada 2016.
Bagi setiap satu perlawanan, dua kumpulan akan bertarung untuk 'memusnahkan' pangkalan musuh mereka dan pada masa yang sama mereka juga perlu mempertahankan pangkalan sendiri melalui beberapa laluan yang disediakan.
Piala Asia Tenggara Mobile Legends
Dengan 200 juta muat turun di peranti Android dan iOS dicatatkan di seluruh dunia, Mobile Legends turut menjadi kegilaan ramai rakyat Malaysia terutama dalam kalangan golongan anak-anak muda.
Beberapa siri kejohanan Mobile Legends telah diadakan sejak ia dibangunkan termasuk Piala Asia Tenggara dan MPL Malaysia, Singapura, Filipina dan Indonesia.
Bagi MPL Malaysia dan Singapura, ia kembali untuk musim kedua dengan menawarkan hadiah wang terkumpul melebihi RM400,000.
Bertemakan ‘Kebangkitan Legenda’, ia bakal membuka tirai pada 10 Ogos ini.