KUALA LUMPUR: Juara Pengeluar Formula Satu (F1) 2021 Pasukan F1 Mercedes-AMG Petronas akan melakukan segalanya untuk membantu Lewis Hamilton merebut kembali gelaran juara dunia musim hadapan.

Prinsipal pasukan, Toto Wolff berkata perlumbaan Grand Prix Abu Dhabi di Litas Yas Marina yang mengecewakan sudah pasti membuatkan mereka ingin membuktikan mengapa Hamilton merupakan pemandu terbaik di planet ini.

"Kami akan menyediakan Lewis dengan enjin F1 dengan kuasa yang menakjubkan dan sukar dibayangkan dan kami memiliki motivasi utama untuk menunjukkan kepada setiap orang bahawa dialah pemandu yang terbaik di planet ini.

"Beliau yang terbaik pada 2021 dan akan muncul terbaik dalam 2022. Beliau akan membuktikannya kepada dunia," katanya dalam satu sidang akhbar maya dengan pengamal media Malaysia pada Jumaat.

Ahad lepas, Hamilton tewas kepada Max Verstappen pemandu Red Bull dari Belanda yang memotong beliau di lap terakhir berikutan perubahan tiba-tiba ke atas prosedur kereta keselamatan yang membenarkan perlumbaan bersambung semula.

Dalam satu musim yang paling mempersonakan dalam sejarah F1, Hamilton mendahului dengan selesa sehingga tempoh kereta keselamatan yang lewat memadamkan pendahuluannya dan membenarkan Verstappen ke pit untuk menukar tayar jenteranya kepada tayar kompaun lembut.

Pengakhiran perlumbaan di Abu Dhabi yang dramatik menghancurkan impian pelumba British berusia 36 tahun itu untuk merangkul kejuaraan dunia ketujuhnya, semenjak kemenangan sulungnya pada 2008.

Mengulas mengenai musim 2021, Toto menggambarkannya sebagai "gila" berikutan beberapa masalah seperti permulaan yang buruk yang dialami mereka pada peringkat awal musim sebelum penyudah dramatik di Emiriah Arab Bersatu yang menyaksikan kejuaraan yang hampir menjadi milik Lewis dirampas.

Toto mengakui mereka tidak memiliki kelebihan pada separuh pertama musim ini termasuk perubahan peraturan sebelum mereka mula mendapat momentum dan seterusnya berjaya mempertahankan gelaran Juara Pengeluar untuk lapan tahun berturut-turut.

"Ia merupakan musim yang gila kerana perubahan peraturan yang diperkenalkan sejak permulaan 2021 telah menjejaskan kami dengan ketara dan kami menghadapi permulaan yang lebih teruk daripada yang kami jangkakan.

Kami ketinggalan dari segi prestasi di setiap aspek seperti cas tidak cukup pantas, kuasa tidak cukup besar tetapi kami perlahan-lahan memperbaikinya dan pada akhirnya ia merupakan saat penentuan buat kami," katanya.

Pasukan F1 Mercedes-AMG Petronas mengakhiri musim 2021 dengan 613.5 mata untuk mengekalkan Kejuaraan Pengeluar sejak 2014.

-- BERNAMA