Kelab Serie A Itali, AC Milan mencapai persetujuan bersama Manchester City bagi mendapatkan khidmat penyerang, Mario Balotelli.

Pemain berusia 22 tahun itu kini perlu melepasi ujian perubatan bagi melengkapkan perpindahannya.

Perkara itu disahkan pengarah Milan, Umberto Gandini dalam satu kenyataan pada Selasa.

Ia bertentangan dengan pandangan presiden kelab, Silvio Berlusconi yang pernah berkata Milan tidak akan mendapatkan pemain itu.

Media tempatan melaporkan Milan akan membayar City nilai perpindahan US$27 juta (RM84 juta).

Pemain juga diberikan kontrak empat setengah tahun namun terpaksa menerima bayaran gaji lebih rendah berbanding yang diterimanya di City ketika ini.

Balotelli pernah mewakili seteru Milan, Inter sebelum berhijrah ke City pada 2010.