PERSAINGAN terus sengit dalam perebutan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL), selepas juara bertahan, Manchester City membenam Huddersfield 3-0 di Stadium John Smith.

Danilo membuka tirai jaringan buat pasukan pelawat, selepas percubaannya dari jarak jauh pada minit ke-18 menerjah jaring selepas terkena kepala Christopher Schindler.

Gol kedua City dijaringkan dalam babak kedua oleh Raheem Sterling, yang menanduk masuk hantaran Leroy Sane pada minit ke-54.



Dua minit kemudian, giliran Sane pula untuk mencatat nama sebagai penjaring, selepas menolak masuk bola hasil tandukan Sergio Aguero.

Kemenangan tersebut membolehkan City kembali merapatkan kedudukan dengan pendahulu liga, Liverpool kepada empat mata.

City berada di tangga kedua dengan 56 mata, manakala Liverpool 60 mata.

Huddersfield turun ke gelanggang sendiri menentang City pada Ahad tanpa pengurus, selepas David Wagner meninggalkan kelab tersebut atas persetujuan bersama.

Jurulatih, Mark Hudson diberi tugas sebagai pengendali pasukan buat sementara.