Skuad pencak silat remaja negara terus mempamerkan aksi cemerlang apabila menambah dua lagi pingat emas pada edisi ketiga Kejohanan Silat Remaja Dunia 2015 di Stadium Titiwangsa di sini, pada Selasa.

Nashrul Edzam Mohd Asri menghadiahkan pingat emas keempat untuk Malaysia selepas mengungguli acara silat seni tunggal Putera dengan mencatat 459 mata.

Pingat perak dan gangsa masing-masing dimenangi oleh pesilat Singapura, Nujaid Hasif Zainal Abidin dan pesilat Vietnam, Ngo Van Nuynh selepas mencatat 453 dan 443 mata.

Pingat kelima Malaysia disumbangkan oleh Nur Fatihah Zainuddin dalam acara silat seni tunggal Puteri selepas mengumpul 445 mata.

Ketinggalan satu mata di belakang Nur Fatihah ialah pesilat Indonesia, Dwi Jayanti untuk meraih pingat perak manakala pesilat Singapura, Nurzianah Mohammad Yazid sekadar membawa pulang pingat gangsa dengan kutipan 442 mata.

Malaysia telah memenangi tiga pingat emas pada kejohanan itu dalam kategori Ganda Putera dan Puteri selain kategori silat seni berpasukan lelaki semalam.

Kejohanan itu disertai seramai 128 atlet, 44 pegawai dan jurulatih dari 12 negara iaitu Singapura, Australia, Azerbaijan, India, Jerman, Bangladesh, Rusia, Vietnam, Korea Selatan, Thailand, Indonesia serta Malaysia selaku tuan rumah.