KUALA LUMPUR : Malaysia bersetuju untuk menjadi tuan rumah Sukan SEA 2027 dengan mengambil kira komitmen tiga negeri lain.

Menurut Kementerian Belia dan Sukan (KBS), keputusan itu telah dipersetujui jemaah menteri dalam mesyuarat yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

KBS dalam satu kenyataan turut memaklumkan keputusan itu diambil selepas menerima tawaran daripada Persekutuan Sukan SEA (SEAGF).

Sebelum ini, Sarawak, Sabah dan Pulau Pinang telah menyatakan kesediaan untuk menggunakan peruntukan masing-masing bagi menjadi penganjur bersama dengan Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, jemaah menteri turut merakamkan ucapan tahniah kepada kerajaan Sarawak dan Jawatankuasa Penganjur Sukan Malaysia (Sukma) ke-21.

Ia susulan kejayaan mengendalikan penganjuran temasya Sukma 2024 yang berakhir pada 24 Ogos lalu dengan jayanya.