BUTTERWORTH: Walaupun keadaan kesihatannya lemah, legenda bola sepak tanah air Datuk M. Kuppan tetap berkobar-kobar ketika menceritakan detik manis sepanjang pembabitannya bersama skuad kebangsaan.

K.Sunther, anak sulung kepada bekas pemain kebangsaan itu berkata, walaupun menghadapi masalah di bahagian pinggang dan penyakit lain seperti strok sejak beberapa tahun lepas, mendiang bapanya tidak pernah jemu berkongsi detik manis ketika menyarung jersi kebangsaan pada sekitar 60-an kepada ahli keluarga dan kenalan rapat.

"Apabila kita cakap (mengenai) bola sepak mata dia (Kuppan) akan buka. Memang bersemangat kerana sejak muda dia minat bola malah saya lihat dia amat disenangi rakan sepasukan kerana memiliki sifat rendah diri," katanya kepada pemberita di kediaman Kuppan dekat Bagan Ajam di sini hari ini.

Kuppan, 85, meninggal dunia pada 5.30 petang semalam di ibu negara akibat menghidapi osteoarthritis dan meninggalkan seorang balu, Datin G. Amirthamani, 84 serta tiga anak lelaki termasuk Sunther, 58, K. Siva Prakesh, 55 dan K. Siva Kumaran, 50.

Bekas anak didik Kuppan, Muraliraj K. Silvaraj yang juga pemain bola sepak Pulau Pinang dan kebangsaan era 80-an, berkata pemergian legenda bola sepak negara itu adalah satu kehilangan besar dalam arena bola sepak negara.

"Saya anggap dia sebagai bapa kerana begitu prihatin kepada setiap anak didiknya ketika menjadi jurulatih. Saya gambarkan dia seperti Sir Alex Ferguson (bekas pengendali Manchester United) sebab dia sangat dedikasi mengemudi pasukannya.

"Dia juga seorang komited dan akan galas tugasnya sebagai jurulatih pasukan (Pulau Pinang) hingga saya terpilih untuk mewakili skuad kebangsaan pada 1988. Dia melampaui segala-galanya, dia seorang legenda sejati," katanya.

Sementara itu, bekas pemain bola sepak negara yang juga Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) Johari Maina berkata pemergian Kuppan memberi kesan mendalam kerana menyifatkan mendiang memberikan komitmen penuh setiap anjuran majlis mahupun program yang diadakan yayasan itu biarpun kesihatan dirinya tidak mengizinkan.

"Satu kehilangan besar...sebab setiap program (anjuran YAKEB) dianjurkan, dia mesti datang. Malah sangat mesra dalam kalangan ahli (YAKEB). Harap keluarganya tabah untuk meneruskan kehidupan selepas ini," katanya.

Untuk rekod, Kuppan yang terkenal dengan julukan Jetboots atau Harimau Bintang Pulau Pinang pernah mewakili Pulau Pinang selama 10 musim sebelum bersara pada 1967 dan menjulang Piala Malaysia sebagai jurulatih Pulau Pinang pada 1974.

Beliau juga pernah menjulang Piala Malaysia bersama Pulau Pinang pada 1958 dan pernah menyarung jersi negara selama lapan tahun bermula 1958 hingga 1965 selain membawa skuad kebangsaan menjulang Piala Raja Thai sebanyak dua tahun berturut-turut pada 1975 dan 1976 sebelum menjulang Pestabola Merdeka 1976.

Terdahulu, bekas rakan sepasukannya, Datuk Shukor Salleh, Mohamed Khalil Hashim dan N. Baskaran turut hadir memberikan penghormatan terakhir sebelum upacara pembakaran mayat Kuppan di Bukit Berapit dekat Bukit Mertajam pada 2.30 petang tadi.

-- BERNAMA