Wakil wushu skuad kebangsaan, Chan Lu Yi yang mengharapkan satu kilauan emas mampu dijelmakan dalam acara ketiganya iaitu Duilian bersama Audrey Chan Yee Jo.

Beliau meraih pingat peribadi kedua iaitu gangsa dalam acara taijiquan pilihan wanita dengan catatan 9.65 mata manakala seorang lagi wakil negara, Ng Shin Yii sekadar menghuni tempat ketujuh dengan pungutan 9.27 mata.

Chan telah berjaya meraih pingat perak dalam acara taijiquan wajib wanita.

"Saya ingin mendedikasikan kemenangan satu perak dan satu gangsa ini kepada ibu bapa yang telah banyak berkorban selain jurulatih (Lim Yew Fai) dan juga rakan sepasukan," kata pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil itu.

Peserta Indonesia, Lindswell Lindswell melakar kejutan dengan memenangi pingat emas menerusi catatan 9.73 mata manakala perak menjadi milik Tran Thi Minh Huyen dari Vietnam dengan kutipan 9.69 mata

Dalam pada itu, Phoon Eyin, yang juga atlet wushu wanita negara, mengintai peluang untuk mempertahankan pingat emas yang dimenangi pada edisi 2013 menerusi acara Qiangshu (lembing).

Eyin, yang membuat penampilan kali kedua pada Sukan SEA selepas edisi 2013 di Myanmar, sekadar menduduki tempat keempat bersama Loh Ying Ting dalam acara Duilian semalam dengan kutipan 9.63 mata.

"Saya agak puas hati dengan kutipan perak namun saya bertekad untuk mendapat keputusan lebih baik esok," kata atlet berusia 19 tahun itu.

Pingat emas menjadi milik Duong Thuy Vi dari Vietnam menerusi kutipan 9.70 mata dan gangsa menjadi milik seorang lagi wakil negara, Aggie Cheah Ruey Shin (9.63 mata).

Eyin pernah melakar sejarah tersendiri dengan menjadi penyumbang pingat ke-1000 untuk negara sejak Sukan SEAP 1959 menerusi kutipan pingat emas dalam acara Qiangshu wanita pada edisi 2013 di Myanmar.