Pelumba pasukan Southeast-Venezuela, Jakub Mareczko akhirnya meraih kemenangan sulung selepas empat percubaan dalam perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2016.

Pelumba berusia 21 tahun memenangi peringkat keeenam sejauh 147.6km dari Putrajaya ke Rembau, Negeri Sembilan hari ini dengan catatan masa 3 jam 34 minit 0.1 saat.

Tempat kedua menjadi milik pelumba Slovakia, Juraj Sagan dari pasukan Tinoff manakala pelumba Switzerland, Dylan Page dari pasukan Team Roth menaiki tangga ketiga dalam podium.

Sebagai rekod, Mareczko, pelumba kelahiran Itali itu menghuni tempat ketiga dalam peringkat kedua tahun ini dan tempat kedua dalam peringkat keempat dan keenam, tahun lepas.Bercakap kepada pemberita selepas perlumbaan, Mareczko berkata beliau menerima tentangan sengit daripada kelompok utama pelumba sebelum satu kilometer dari garisan penamat.

"Saya amat gembira dengan kemenangan ini dan mengucap terima kasih kepada rakan sepasukan yang membantu dengan aksi yang baik sekali," katanya.

Dalam pada itu, pelumba pasukan Dimension Data, Reinardt Janse van Rensburg berjaya merampas Jersi Kuning daripada pelumba pasukan Astana Pro Team, Miguel Angel Lopez, selaku pendahulu keseluruhan.

Lopez, yang juga pakar pendakian, menerima nasib malang pada perlumbaan hari ini selepas tayarnya pancit ketika perlumbaan berbaki enam kilometer dan terpaksa menamatkan saingan di tempat ke-63.

"Saya bersimpati dengan Lopez apabila terpaksa melepaskan Jersi Kuning dengan cara yang malang sekali kerana saya tidak sabar untuk bertarung dengan beliau semasa perlumbaan hari ini.

"Insiden seperti ini adalah perkara biasa dalam perlumbaan," kata Rensburg.

Raja Pecut

Dalam pada itu, rakan sepasukan Lopez, Andrea Guardini dari Itali, yang memilki rekod kemenangan 20 peringkat, mengekalkan Jersi Teal, selaku raja pecut, biarpun gagal menamatkan saingan dalam kelompok 10 pelumba terbaik.

Guardini berkata beliau membuat keputusan untuk tidak mencabar selepas melihat kelompok yang melakukan pemisahan meningkatkan kelajuan ke garisan penamat selepas zon pendakian terakhir di Bukit Miku.

Bagaimanapun, katanya, beliau akan menebus kekecewaannya dalam perlumbaan esok.

Sementara itu, pelumba China, Wang Meiyin mengekalkan Jersi Merah, selaku Raja Bukit manakala pelumba Malaysia, Muhamad Adiq Husainie Othman mengekalkan Jersih Putih sebagai pelumba terbaik Asia.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Undang Luak Rembau, Datuk Muhamad Sharip Othman dan disaksikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, yang juga Ahli Parlimen Rembau.

Peringkat ketujuh esok akan menyaksikan laluan terpanjang dalam edisi ke-21 LTdL tahun ini dengan jarak 202.3km dengan bermula dari Seremban dan berakhir di Parit Sulong, Johor.

Laluan itu menawarkan tiga peringkat pecutan di Johol, Jasin dan Tangkak dan dua peringkat pendakian di Bukit Miku dan Gemencheh.