Pengurus pasukan Liverpool, Brendan Rogers meyakinkan penyokong bahawa dia punya perancangan untuk membina semula pasukan selepas kapten pasukan tersebut, Steven Gerrard beraksi buat kali terakhir di stadium keramat mereka semalam.

Gerrard, 34, menyatakan dia sangat berdukacita selepas tewas 3-1 kepada Crystal Palace dalam perlawanan tersebut, dan kini sedang bersedia untuk membuat kemunculan terakhir bersama Liverpool di Stoke City minggu hadapan.

Gerrard menyusuli langkah rakan sepasukan Jamie Carragher yang meninggalkan Liverpool pada tahun 2013, dan ketika posisi yang ditinggalkan Luis Suarez yang berpindah ke Barcelona masih belum berganti, Rodgers sedar dia punya tugas yang sangat besar untuk memastikan semangat pasukan masih utuh.

Ketika ditanya adakah Gerrard, yang dijangka menyertai LA Galaxy Julai depan, boleh digantikan dengan seorang pemain, Rodger memberitahu, "Saya rasa itu bukan persoalannya."

"Dia salah seorang pemain yang sukar dicari ganti. Apa yang telah dicurahkan bersama kelab ini menjadikan dia tidak ada tandingannya.

gerrard
Pemain-pemain Liverpool, sesetengah bersama anak mereka, memakai jersi dengan nama Gerrard sebagai tanda hormat kepada kapten pasukan itu selepas perlawanan di Anfield pada Sabtu, Mei 16 2015. - Foto AP/Jon Super

"Kami akan terus berusaha meperbaiki kedudukan sehingga musim ini tamat. Itu cabaran bagi kami."

Ada kemungkinan Gerrard akan kembali ke Anfield sebagai pemain pinjaman, seperti yang pernah dilakukan David Beckham dan Thierry Henry. Namun Gerrard memberitahu BBC, dia hanya akan berbuat demikian jika keadaan benar-benar memaksa.

Biarpun nasib Liverpool agak malang musim ini, namun Rodgers tetap optimis.

gerrard
Gerrard kelihatan sangat beremosi ketika berjalan meninggalkan stadium Anfield buat kali terakhir pada Sabtu. - Foto AP/Jon Super

"Kami kehilangan pemain yang banyak berjasa kepada kelab, bermula dengan Carragher (Jamie) dan kini Gerrard pula.

"Mereka bagaikan nadi pasukan, jadi kehilangan mereka tentunya memberi kesan kepada kami. Apatah lagi, kami juga kehilangan seorang pemain yang sangat bagus iaitu Luis Suarez, ia menjadikan keadaan bertambah sukar.

"Segala-galanya sukar bagi kami musim ini. Tetapi pemain telah memberikan yang terbaik dan saya harap kami boleh memperbaikinya lagi," kata Rodgers.