LIVERPOOL 2 MANCHESTER CITY 2
Jurgen Klopp mengakui bahawa ia dua kisah berbeza dalam setiap separuh masa buat Liverpool selepas bermandi peluh untuk terikat 2-2 dengan Manchester City dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Anfield awal pagi tadi.
City, juara bertahan EPL, menjadi pasukan yang lebih dominan sebelum waktu rehat, di mana dua percubaan Phil Foden digagalkan penjaga gol Liverpool, Alisson, manakala tandukan Kevin De Bruyne pula tersasar.
Pasukan bimbingan Pep Guardiola itu mendakwa mereka sepatutnya diberikan sepakan penalti selepas Milner menggagalkan usaha Foden tetapi beberapa kata-kata semangat daripada pengurus mereka, Klopp, dalam waktu rehat telah membantu Liverpool untuk kembali bernyawa dalam babak kedua.
Pasukan tuan rumah itu berada di depan sebanyak dua kali, di mana Sadio Mane membuka jaringan sebelum Mohamed Salah melakukan gerakan solo menarik untuk menjadikan kedudukan 2-1 tetapi Klopp berasakan satu mata yang diperoleh mereka itu sudah "cukup bagus" selepas City menyukarkan pergerakan mereka sepanjang perlawanan itu.
"Syukur perlawanan bola sepak ada dua separuh masa. Kami amat gembira dengan aksi kami dalam babak kedua dan tidak terlalu gembira dengan babak pertama, atas sebab yang jelas," kata Klopp kepada Sky Sports.
"Kami melakukan banyak kesilapan dalam babak pertama dan City pula banyak melakukan perkara dengan betul, itulah keputusan terbaik yang kami boleh dapat. Kami tidak pernah dapat menguasai permainan, kami tidak pernah dapat bermain dengan secukupnya dalam perlawanan ini.
"Saya amat-amat gembira, mungkin ia waktu paling gembira dalam karier saya apabila mendengari wisel separuh masa. Ia memang bukan satu perancangan untuk kami bermain seperti ini.
"Kami memerlukan waktu rehat separuh masa dan memanfaatkannya, kemudian kami bermain dengan baik dalam babak kedua," katanya.


Dia menambah: Man City pasukan yang baik apabila memiliki bola. Ada cara untuk bertahan -- anda perlu menutup ruang dan untuk melakukannya, anda perlu menyerlah dalam momen tertentu.
"Saya tidak pasti saya ada melihat perlawanan di mana City boleh melakukan hantaran dengan mudah di separuh padang. Mereka memiliki peluang tetapi mereka tidak memanfaatkannya.
"Kami melakukan hantaran jauh, di mana ia masuk akal. Kami segera mengubah kesemua perkara itu dalam babak kedua. Anda dapat lihat bagaimana perancangan permainan kami -- kami lebih ke atas dan lebih agresif.
"Mesejnya adalah untuk melakukan lebih hantaran, yang kami tidak lakukan dalam babak pertama. Saya benar-benar gembira. Adakah kami mahu memenangi perlawanan seperti ini? Kami mahu tetapi kami perlu mengakuinya hari ini, kerana setiap perlawanan mempunyai dua babak, satu mata sudah cukup baik," katanya.
Foden memadamkan jaringan pembukaan Mane sebelum Salah kembali meletakkan Liverpool di depan tetapi jaringan penutup dalam perlawanan itu terhasil daripada percubaan gemilang De Bruyne yang sempat terbias di badan Joel Matip sebelum menewaskan Alisson.
Liverpool kelihatan akan kembali berada di depan apabila Fabinho mempunyai ruang di depan gawang kosong tetapi Rodri melakukan hadangan saat-saat akhir biarpun penjaga gol, Ederson, sudah tersilap langkah.