KAPTEN Martin Odegaard mengetuai lima pemain Arsenal yang disenaraikan dalam Pasukan Terbaik Persatuan Bolasepak Profesional England (PFA) 2024.

Selain Odegaard, penjaga gol; David Raya, pertahanan; William Saliba dan Gabriel Magalhaes serta pemain tengah; Declan Rice turut tersenarai dalam kesebelasan utama PFA kali ini.

Seperti tahun lalu, kesebelasan terbaik PFA hanya diwakili empat kelab iaitu Arsenal, Manchester City, Liverpool dan Aston Villa.

Phil Foden yang meraih Anugerah Pemain Terbaik PFA mengetuai senarai empat pemain Manchester City, (Erling Haaland, Rodri dan Kyle Walker), manakala pertahanan kental Liverpool; Virgil van Dijk serta penyerang Aston Villa; Ollie Watkins melengkapkan skuad terbaik PFA dengan formasi 4-3-3.

Untuk musim kedua berturut-turut, pemain Manchester United sekali lagi tercicir daripada pasukan terbaik PFA.

Ini adalah kali pertama dalam era Liga Perdana Inggeris (EPL) pemain-pemain United tidak terpilih dalam kesebelasan utama terbaik untuk dua musim berturut-turut.

Kali terakhir United tidak mempunyai wakil untuk dua musim berturut-turut dalam kesebelasan utama terbaik PFA adalah pada musim 1986/87 dan 1987/88. -- Sinar Harian