KUALA LUMPUR: Jaringan pada masa kecederaan oleh pemain gantian, Jonathan Reis menyelamatkan Kedah Darul Aman FC daripada pulang tanpa sebarang mata selepas mengikat Sri Pahang FC, 1-1, di Stadium Darul Makmur, Kuantan, pada aksi Liga Super 2023, pada Sabtu.

Walaupun menguasai separuh masa pertama, Kedah jelas buntu menembusi kubu pertahanan tuan rumah, dengan peluang terbaik mereka hadir pada minit ke-20 menerusi percubaan dari luar kotak penalti pemain tengah Tajikistan, Amirbek Juraboev, yang tersasar di sebelah kiri gawang Sri Pahang.

Sri Pahang yang berjaya menyerap tekanan demi tekanan daripada Kedah hampir menjaringkan gol pendahuluan namun sepakan voli penyerang dari Brazil, Lucas Silva dinafikan penjaga gol Kedah, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi, tiga minit sebelum babak pertama tamat.

Bersambung babak kedua, tuan rumah yang meningkatkan tempo permainan dihadiahkan sepakan penalti selepas sepakan penyerang Kpah Sherman terkena tangan pertahanan lawan, Muhammad Ariff Farhan Md Isa, pada minit ke-60.

Peluang tersebut tidak disia-siakan tonggak tengah dari Argentina, Stefano Brundo untuk membuka tirai jaringan 'Tok Gajah' pada minit ke-62.

Sri Pahang berpeluang menambah gol kedua selepas Mohd Aiman Afif Md Afizul menolak Sherman di dalam kotak penalti namun sepakan diambil Silva melewati palang gol pada minit ke-86 sebelum rembatan kencang Reis pada minit ketiga masa kecederaan memastikan kedua-dua pasukan berkongsi satu mata.

Dalam pada itu, di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Seremban, pasukan Negeri Sembilan FC meraih kemenangan kedua berturut-turut musim ini apabila mengalahkan pasukan tercorot, Kelantan FC, 4-2.

Jaringan dari luar kotak penalti oleh tonggak pertahanan, Mahalli Jasuli meletakkan skuad 'Hobin Jang Hobin'di depan pada minit ke-16 sebelum pelawat bangkit menyamakan kedudukan menerusi penyerang Ismaheel Akinade yang tenang menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-36.

Bagaimanapun, kedudukan tersebut tidak kekal lama apabila tuan rumah hanya memerlukan dua minit untuk kembali di depan menerusi tandukan pemain pertahanan dari Perancis, Herold Goulon.

Akinade kemudian menanduk masuk jaringan keduanya untuk mengikat kedudukan 2-2 tujuh minit selepas babak kedua bersambung, namun bola tolakan Shahrel Fikri pada minit ke-75 kembali memberi kelebihan kepada pasukan bimbingan K. Devan.

Penyerang import dari Brazil, Anselmo Arruda Da Silva melebarkan kedudukan dengan menjaringkan gol keempat Negeri Sembilan, sekali gus melengkapkan kemenangan mereka pada minit ke-88.

Sementara itu, di Stadium Negeri, Kuching, Kuching City FC mengalami kekalahan kelima beturut-turut selepas tewas 1-0 kepada PDRM FC, hasil jaringan penyerang kacukan Jepun-Brazil, Bruno Suzuki, pada minit ke-73.

-- BERNAMA