KUCHING: Jaringan sepakan percuma Natanael Siringoringo meranapkan impian Kuching City FC untuk menamatkan kemarau 15 perlawanan tanpa kemenangan selepas sekadar seri 2-2 dengan Kelantan FC dalam saingan Liga Super di Stadium Negeri Sarawak, di sini, malam tadi.

Aksi separuh masa pertama menyaksikan pelawat terlebih dahulu mengejutkan tuan rumah apabila ketua pasukan Kelantan FC Muhammad Hafizan Ghazali membuka tirai jaringan dengan sepakan kencang pada minit keempat.

Bersambung pada babak kedua perlawanan, penyerang Kuching City Abu Kamara menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-58.

Giliran pasukan bimbingan Kamaludin Akil itu berada di depan apabila Kamara meledak gol kedua peribadi menerusi sepakan penalti sepuluh minit kemudian, sebelum Siringoringo memastikan Kelantan tidak pulang tangan kosong menerusi jaringan penyamaan pada minit ke-79.

Keputusan semalam menyaksikan Kuching City naik satu anak tangga selepas memintas Kelantan United FC untuk berada di kedudukan ke-12 liga dengan tujuh mata, manakala Kelantan kekal di tangga tercorot dengan lima mata.

-- BERNAMA