BERLIN: Legenda tenis Chris Evert mendedahkan dia kini bebas kanser selepas lebih setahun berjuang melawan penyakit itu, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa).

Evert memulakan kemoterapi pada Januari 2022 selepas didiagnosis menghidap kanser ovari.

Doktor berjaya mengesan kanser Evert lebih awal selepas dia menjalani histerektomi pencegahan selepas kematian adiknya, Jeanne akibat penyakit yang sama.

Wanita berusia 68 tahun itu menamatkan rawatan kemoterapi Mei lalu dan mengesahkan berita positif itu pada Selasa, menerusi penulisannya untuk ESPN: "Setahun yang lalu, saya memulakan perjalanan untuk melindungi diri saya dan orang tersayang daripada risiko BRCA -berkaitan kanser ovari yang meragut nyawa adik saya Jeanne.

"Hanya kerana faktor genetik dan kemajuan saintifik menyebabkan doktor mampu mengesan kanser itu di peringkat awal.

"Doktor berkata jika kanser itu gagal dikesan dalam tempoh empat bulan, nasib saya mungkin seperti Jeanne.

"Ketika saya disahkan menghidap kanser ovari Tahap Tiga, saya serta-merta memulakan enam pusingan kemoterapi.

"Hari ini, saya bebas kanser dan terdapat 90 peratus kemungkinan kanser ovari itu tidak akan kembali."

Evert berkata dia "kini menuju pemulihan".

"Saya perlu menjalani rawatan terakhir bagi melengkapkan proses pemulihan.

"Perjalanan hidup adik saya menyelamatkan nyawa saya dan saya harap dengan perkongsian ini, saya mungkin menyelamatkan nyawa orang lain," katanya.

Evert memenangi 18 gelaran Grand Slam sepanjang kariernya yang cemerlang.

--BERNAMA