LEGENDA bola sepak Belanda, Clarence Seedorf mengumumkan dia kini sudah menjadi saudara baharu selepas memeluk agama Islam pada usia 45 tahun.

Pengumuman itu dibuat menerusi akaun Instagram rasminya pada Jumaat.

Jelasnya, dia tidak akan menukar nama dan terus menggunakan nama diberi ibu bapanya.

"Penghargaan istimewa kepada semua kata-kata baik yang meraikan saya menyertai keluarga Muslim.

"Saya gembira dan terharu dapat menyertai saudara Islam di seluruh dunia terutamanya Sophia (Makramati) yang banyak mengajar saya makna Islam.

"Saya sampaikan kasih sayang saya kepada semua orang di dunia," tulis Seedorf di akaun Instagramnya.



Seedorf pernah bermain dengan banyak pasukan besar sepanjang karier hebatnya termasuklah Ajax, Real Madrid, Inter Milan dan AC Milan.

Pemain tengah itu pernah memenangi Liga Juara-Juara Eropah sebanyak empat kali bersama Ajax, Real Madrid dan AC Milan.

Selain itu, dia juga pernah memenangi satu La Liga dan dua kejuaraan Serie A bersama AC Milan.