Kuala Lumpur mengekalkan kedudukan teratas Divisyen 1 Kumpulan B selepas menewaskan Perak 4-3 dalam Kejohanan Hoki Piala Tun Razak ke-51 di Stadium Hoki Indera Mahkota di sini Selasa.

Juara 16 kali itu membuka tirai jaringan pada minit ke-13 menerusi Nor Hizzat Sumantri dan mengukuhkan kedudukan dengan gol kedua enam minit kemudian.

Perak merapatkan jurang menerusi Azlan Misron pada minit ke-27 namun Kuala Lumpur membalas dengan dua gol apabila babak kedua bermula menerusi S. Selvaraju (min ke-42) dan Nabil Fiqri Mohd Noor lapan minit kemudian.

Perak cuba bangkit namun hanya berjaya menambah dua gol menerusi jaringan Muhammad Najib Abu Hassan pada minit ke-62 dan Mohamad Sabri Mohamad (min ke-64).

Dalam satu lagi perlawanan kumpulan sama Pahang membelasah Pulau Pinang 5-2.

Pahang memperoleh gol seawal minit ketujuh hasil jaringan Vizayan Maniam sebelum Pulau Pinang menyamakan kedudukan pada minit ke-20 menerusi Izwan Firdaus Tajuddin.

Bagaimanapun pemain Pahang, Vizayan Maniam sekali lagi meletakkan Pahang di hadapan dengan jaringan pada minit ke-45 sebelum menjaringkan hatrik empat minit kemudian.

Pulau Pinang cuba merapatkan jurang dengan tambahan satu lagi gol hasil jaringan Muhamad Rahimi Iskandar Baharom pada minit ke-61 namun Pahang memberi respons dengan gol oleh Mohd Rodzhanizam Mat Radzi (min ke-67) dan Mohamad Fahmi Abdullah (min ke-69).

Sementara itu, kelebihan jaringan melonjakkan Selangor sebagai pendahulu Divisyen 2 selepas berkongsi tujuh mata dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) susulan kemenangan 4-2 ke atas Perlis.

Juara sembilan kali itu dikejutkan dengan gol pembukaan Perlis pada minit ke-12 oleh Muhammad Najmi Farizal Jazlan yang menyempurnakan pukulan sudut penalti.

Selangor bangkit dengan mencipta empat gol berturut-turut hasil jaringan Muhammad Amerrullah Abdul Aziz minit ke-37, diikuti Amir Zulkarnain Ahmad Robaangi (min ke-40), Muhammad Noor Faeez Ibrahim (ke-51) dan S. Lingkesweren (ke-60), sebelum Perlis memperoleh gol kedua pada minit ke-62 menerusi Mohd Hafizi Muhammad Roslan.

Dalam pada itu, PDRM yang tewas 2-3 kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memberi peluang kepada ATM mengintai kedudukan kedua carta liga selepas mengumpul enam mata menerusi tiga perlawanan.

Razali Mohd Hazemi muncul wira pasukan ATM dengan jaringan hatrik pada minit ke-2, 31 dan 69, semuanya menerusi pukulan sudut penalti.

PDRM memperoleh gol menerusi ketua pasukan M. Jivan minit pada minit ke-39 dan Baljit Singh (min ke-56).

Dalam satu lagi perlawanan Divisyen 2 menyaksikan Sabah menewaskan Kedah 5-4.

Sabah mendapat gol awal pada minit ke-18 hasil jaringan sendiri pertahanan lawan sebelum Kedah menyamakan kedudukan 1-1 enam minit kemudian menerusi jaringan padang Muhamad Syazly Ibrahim.

Serangan kemas membolehkan Sabah kembali mendahului menerusi jaringan padang Dick Cheny Waili pada minit ke-27 namun Kedah menyamakan kedudukan empat minit kemudian hasil jaringan padang Muhamad Syazly.

Separuh masa kedua, Sabah bangkit lagi dengan menambah dua gol menerusi jaringan Jeaner Junggot (min ke-37) dan Muhd Sharul Nizam (ke-43) sebelum Kedah merapatkan jurang melalui jaringan Ahmad Iqwan Shah Harun (ke-48), menjadikan kedudukan 4-3.

Tambahan gol Sabah berjaya diperolehi oleh Mohd Izzat Mahmood pada minit ke-64 sebelum Kedah membuat jaringan gol terakhir seminit kemudian hasil pukulan sudut penalti oleh Abdul Jalil Mohd Jalaluddin.

JADUAL RABU:

Divisyen 1:

Kumpulan A: Negeri Sembilan mln Johor, Terengganu mln Melaka

Kumpulan B: Pahang mln Kuala Lumpur, Perak mln Pulau Pinang.