KUALA LUMPUR: Kontinjen negara akan menyarung pakaian berinspirasikan baju Melayu yang dihasilkan pereka fesyen terkenal tanah air, Rizman Ruzaini pada perarakan majlis Perasmian Olimpik Paris yang dijadual 26 Julai ini.


Ringkasan AI
  • Kontinjen Malaysia akan memakai pakaian berinspirasikan baju Melayu, direka oleh pereka fesyen terkenal Rizman Ruzaini, pada Perasmian Olimpik Paris pada 26 Julai ini.
  • Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik Paris 2024, Datuk Hamidin Mohd Amin, mengesahkan bahawa reka bentuk pakaian tersebut telah dimuktamadkan dan akan diumumkan kepada umum tidak lama lagi.
  • Sebelum ini, rekaan pakaian rasmi yang dirancang untuk Kontinjen Malaysia menerima kritikan, tetapi MOM memperkenalkan rekaan baharu dengan corak belang harimau yang lebih garang.


Memetik laporan The Star, perkara itu disahkan oleh Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke Sukan Olimpik Paris 2024, Datuk Hamidin Mohd Amin hari ini.

Jelas beliau, pakaian tersebut akan diumumkan tidak lama lagi.

“Ia akan bertemakan baju Melayu dan akan menjadi (konsep) tradisional. Kami telah memuktamadkan reka bentuk dan akan menunjukkannya kepada umum tidak lama lagi,” katanya semasa sidang media di Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Rizman Ruzaini baru-baru ini menempa sejarah dalam industri fesyen tanah air apabila busana rekaan mereka disarung penyanyi terkenal Lady Gaga ketika mengadakan persembahan residensi di Las Vegas.

Sebelum ini, pakaian rasmi Kontinjen Malaysia yang dirancang akan dipakai pada temasya Sukan Olimpik Paris 2024 menerima kritikan daripada banyak pihak.

Susulan kritikan tersebut, MOM tampil memperkenalkan rekaan baharu, dengan corak belang harimau yang lebih garang dipaparkan pada pakaian rasmi.