BURNLEY 0 LIVERPOOL 3

Jurgen Klopp berasakan Liverpool berjaya mengatasi permulaan sukar untuk melewati ujian sukar ketika menentang Burnley dengan meraih kemenangan yang melonjakkan mereka ke kelompok empat teratas Liga Perdana Inggeris (EPL).

Gol sumbangan Roberto Firmino, Nathaniel Phillips dan Alex Oxlade-Chamberlain memastikan kemenangan selesa 3-0 buat The Reds di Turf Moor di sebalik keputusan itu tidak menggambarkan betapa bergelutnya mereka bagi mendapatkan mata.

Burnley memaksa seteru mereka itu menunggu hingga minit ke-43 untuk gol pembukaan, malah mereka memiliki beberapa peluang menarik biarpun masih gagal meraih kemenangan dalam 10 perlawanan berturut-turut sebagai tuan rumah.

Sebaliknya, Liverpool kini melakar empat rentetan kemenangan. Kejayaan terbaru di tempat lawan itu menyaksikan pasukan bimbingan Klopp tersebut memintas Leicester City menerusi perbezaan gol menjelang perlawanan terakhir hujung minggu ini yang boleh menentukan kedudukan mereka dalam Liga Juara-Juara (UCL) musim depan.

Pertahanan pelawat, Phillip, kemudian menggandakan kelebihan pelawat dengan tandukan hasil sepakan lintang Sadio Mane untuk gol sulungnya disusuli ketangkasannya mematahkan satu peluang menarik di kotak penalti sendiri.

"Saya tidak ingat sebarang perlawanan mudah ketika menentang Burnley," kata pengurus Liverpool itu dalam wawancara pasca perlawanan bersama Match of the Day.

"Sangat sukar untuk bertahan dengan cara mereka beraksi. Mereka bijak, mereka mahu menguasai bahagian tengah apabila (Chris) Wood dan (Josh) Brownhill banyak melakukan pergerakan.

"Kami memulakan permainan dengan gugup dan daripada segi hantaran, pada awalnya kami perlu merebut bola di kaki mereka dan kami harus menyesuaikan diri dengan suasana di dalam stadium.

"Selepas itu, kami dapat menerapkan permainan yang sangat bagus. Kami mempunyai dua peluang awal yang berharga, menjaringkan gol menarik. Ia satu perlawanan yang hebat.


"Mereka kembali dengan keamatan tinggi dalam separuh masa kedua jadi kami harus bersedia. Kami tidak boleh mengekang mereka sepanjang masa tetapi kami perlu memanfaatkan setiap peluang yang ada.

"Nat, dengan tandukannya yang sangat hebat, Oxlade-Chamberlain pula menonjolkan kemahiran tinggi dan ia benar-benar aksi yang meyakinkan. Ia sangat mustahak buatnya memandangkan sudah lama dia tersisih, acap keluar masuk (dalam pasukan). Saya sungguh gembira untuknya."

Liverpool kini di tangga empat teratas buat pertama kalinya sejak pertengahan Februari lalu sementara Leicester tergelincir dalam slot kelayakan UCL sejak awal Disember.

Situasi tampak tidak menyebelahi juara bertahan itu dalam beberapa minggu terakhir, namun perjuangan mereka kembali bernyala sebelum menuju ke perlawanan terakhir, Ahad ini.

Phillips juga menjadi tunjang dalam beberapa aksi lalu ketika bergandingan dengan Rhys Williams.

Justeru, Klopp mengubah pandangan jangka panjangnya terhadap kedua-dua anak buahnya itu, lebih-lebih lagi mereka mempamerkan mutu yang meyakinkan sebaik kecederaan melanda barisan utama.

"Pada musim ini, selain kesudahan yang perlu dihadapi ketika ini, tidak banyak perkara yang bagus berlaku," katanya lagi.

"Peluang mereka menyusul dan ia soal bagaimana mereka memanfaatkannya, itulah caranya untuk mereka membina karier."

Kelab dari Merseyside itu akan menjadi tuan rumah kepada Crystal Palace dalam perhitungan terakhir di Anfield, Ahad ini, dan sungguhpun mereka di laluan selesa, pengendali dari Jerman tersebut menjelaskan bahawa tugas mereka masih belum selesai.

"Kami masih ada satu perlawanan lagi untuk dihadapi dan tidak memiliki skuad terbesar, khususnya di posisi tertentu jadi kami harus berwaspada dan berjuang lagi.

"Kami harus kembali bersedia, belum ada keputusan muktamad yang dicapai. Kami akan menjejak kaki dalam perlawanan terakhir, hanya itu yang dapat kami raih malam ini."