LEEDS UNITED 0 LIVERPOOL 3
Jurgen Klopp mengesahkan bahawa Harvey Elliott mengalami kecederaan buku lali serius ketika menewaskan Leeds United 3-0 malam tadi, sambil Virgil van Dijk memberi jaminan bahawa kelab berkenaan akan memberikan sokongan penuh buat pemain muda itu.
Elliott, yang memulakan musim ini dengan cemerlang buat The Reds, mengalami kecederaan itu selepas menghadapi terjahan daripada pertahanan Leeds, Pascal Struijk, pada pertengahan babak kedua di Elland Road.
Liverpool pada ketika itu sedang mendahului 2-0 dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) berkenaan hasil jaringan Mohamed Salah dan Fabinho sebelum perlawanan terpaksa dihentikan sementara Elliott mendapatkan rawatan dan dikejarkan ke hospital.
Struijk, yang cuba mendapatkan bola dengan terjahan menggelongsornya, dilayangkan kad merah oleh pengadil, Craig Pawson, sebelum Sadio Mane menambah satu lagi jaringan buat Liverpool pada lewat permainan.
Bercakap kepada BBC Sport, Klopp berkata: "Harvey Elliot sedang berada di hospital, ia sudah pasti satu kecederaan buku lali yag buruk. Ia tersekat, ia terkehel, pihak perubatan memperbetulkannya semula.
"Dia berasa amat sakit, amat terkejut, kami juga terkejut dan belum tahu perkembangannya, kita perlu tunggu."


Musim lalu, pertahanan tengah Liverpool, Van Dijk, turut menghadapi nasib sama, di mana dia mengalami kecederaan anterior cruciate ligament (ACL) gara-gara terjahan penjaga gol Everton, Jordan Pickford.
Kecederaan itu menyaksikan Van Dijk terlepas keseluruhan kempen musim lalu dan Liverpool tidak dapat mempertahankan kejuaraan EPL yang dimenangi mereka musim 2019-2020.
"Perkara paling utama, seluruh ingatan dan doa kami adalah untuk Harvey, harap-harap dia akan segera pulih sepenuhnya daripada kecederaan itu," kata Van Dijk kepada Sky Sports.
"Kami tidak tahu bagaimana diagnosis kecederaan itu tetapi amat jelas ia kelihatan buruk. Pada ketika kejadian itu, anda dapat melihat Mo (Salah) menjerit ke tepi padang bahawa ia satu kecederaan yang amat serius. Kemudian anda lihat kepada reaksi Harvey, anda tahu ia sesuatu yang serius."
Ditanya adakah pengalaman peribadinya dapat digunakan untuk membantu Elliott, Van Dijk berkata: "Sudah pasti, 100 peratus.
"Saya pernah merasainya, semua pemain, staff dan semua yang berada di Liverpool, termasuk penyokong, ada di belakang saya dan ada untuk saya sepanjang waktu sukar itu. Saya pasti kami juga akan berada di sini untuknya dan kelab ini juga akan sentiasa ada untuknya tanpa mengira apa yang berlaku."