Indonesia akan berdepan dengan tuan rumah Malaysia pada saingan separuh akhir acara bola sepak lelaki Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), Sabtu ini, selepas mengalahkan Kemboja 2-0 pada perlawanan terakhir Kumpulan B di Stadium Shah Alam di sini, pada Khamis.

Indonesia, yang berada di tangga ketiga dalam kumpulan sebelum perlawanan itu, memintas Vietnam dengan satu mata untuk muncul naib juara kumpulan serta mengiringi juara bertahan, Thailand, dari kumpulan itu ke saingan separuh akhir.

Thailand muncul juara kumpulan itu dengan 13 mata manakala Indonesia 12 dan Vietnam dengan 10 mata.

Thailand akan menentang Myanmar, selaku naib juara Kumpulan A, dalam satu lagi perlawanan separuh akhir.

Ketua jurulatih Indonesia, Luis Milla berkata beliau sedar kemampuan anak buah Datuk Ong Kim Swee tetapi percaya pemainnya akan bersedia menghadapi cabaran tersebut.

"Kami sedar perlawanan dengan Malaysia adalah berbeza dalam suasana yang berlainan berbanding aksi pusingan awal. Saya harap pemain masing-masing akan menampilkan aksi terbaik mereka," katanya kepada pemberita selepas perlawanan itu.

Malaysia mara ke separuh akhir selepas mengungguli Kumpulan A.

Sementara itu, ketua jurulatih Kemboja, Leonardo Vitorino berkata meskipun skuad mudanya kalah dalam kesemua perlawanan peringkat kumpulan, namun beliau berpuas hati dengan persembahan anak didiknya.

"Pemain sudah memberi aksi terbaik masing-masing walaupun ini adalah penampilan sulung majoriti pemain dalam Sukan SEA Games. Kekalahan ini satu pengajaran baik bagi pemain menimba pengalaman bagi persediaan menghadapi edisi temasya sukan dwitahunan akan datang," kata jurulatih dari Brazil berusia 43 tahun itu.

-- BERNAMA