Pengendali Harimau Muda A, Ong Kim Swee mengakui terkejut dengan kepulangan pemain remaja, Nazmi Faiz Mansor ke tanah air.

Kim Swee mengesahkan dia tidak dimaklumkan mengenai perkara ini oleh Nazmi mahupun ejennya, Marco Guimaraes.

“Ini merupakan satu berita mengejutkan, bagi pihak saya dan juga FAM. Kami tidak mengetahui apa perkembangan selanjutnya. Jadi saya harap kita tunggu berita rasmi terutama yang dikeluarkan pihak Beira Mar,” kata Kim Swee.

Kim Swee yang kini bersama Skuad Harimau Muda A di Australia hanya mengetahui mengenai kepulangan Nazmi menerusi pihak ketiga.

Laman web rasmi Kelab Nazmi di Portugal, Beira Mar sebelum ini mengeluarkan kenyataan Nazmi dilepaskan selama enam bulan untuk beraksi dengan Skuad Harimau Muda A.

Namun Kim Swee mengesahkan FAM tidak membuat sebarang permintaan untuk Nazmi dilepaskan walaupun untuk saingan Sukan Sea Myanmar Disember ini.

“Nazmi mempunyai kontrak dengan Beira Mar, jadi segala apa urusan perlu dilakukan secara rasmi. saya tidak boleh memberi komen tentang apa yang akan Nazmi lakukan. Yang dapat beri keterangan hanyalah pihak Nazmi dan ejen beliau di mana kedudukan Nazmi yang sebenar,” kata Kim Swee.

Ketika ini Nazmi dikaitkan dengan kelab liga super, PKNS Selangor.

Namun menurut peraturan jawatankuasa pertandingan tempatan FAM, pintu perpindahan pemain baru ke Liga M hanya dibuka pada April.

Justeru Nazmi hanya dapat beraksi pada April jika dia sah menyertai kelab Selangor itu.