Malaysia meraih kilauan emas sulung menerusi acara chinlone linking yang turut menjadi pingat emas pertama Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 hari ini.

Pada perlawanan akhir di Stadium Tertutup Titiwangsa di sini, skuad chinlone negara yang diketuai Muhammad Faiz Roslan beraksi bak wira untuk menyambar emas dengan mengumpul 391 mata menewaskan Filipina yang mengutip 271 mata.

Malaysia mempamerkan aksi bertenaga sejak di pusingan awal dengan mengumpul 376 mata diikuti Filipina dengan 293 dan Brunei 157.

Ia membolehkan anak buah Mohd Yusoff Abdullah melayakkan diri bertemu Filipina di perlawanan akhir.


Bola Chinlone
Brunei mengutip pingat gangsa dalam pertandingan yang disertai tiga negara itu.

Selain Muhammad Faiz, pasukan chinlone yang mengharumkan nama negara hari ini turut dibarisi Mohammad Kamal Aizat Azmi, Ab Muhaimi Che Bongsu, Putera Aidil Israfi Kamaruzaman,Muhamad Asyraaf Abd Hadi, Izuan Afendi Azlan, Mohd Nazuha Mohd Nadzli dan Iskandar Zulkarnain Salim.

Permainan chinlone itu memerlukan kemahiran dan keseimbangan setiap pemain untuk menimang bola takraw mengikut disiplin berdasarkan kategori dan dimainkan seramai enam orang satu pasukan di dalam bulatan.

Kiraan matanya pula menerusi setiap timangan sempurna yang dilakukan oleh setiap pemain dalam masa 10 minit.

Skuad chinlone negara turun beraksi dalam tiga lagi kategori iaitu non-repetition primary, same stroke dan 'non-repetition event secondary'. - BERNAMA