Ketua kontinjen negara ke Sukan Sea Myanmar, Datuk Wira Amiruddin Embi melahirkan rasa bangga dengan kejayaan para atlet yang berjaya mencapai sasaran 40 pingat emas pada temasya sukan berkenaan yang bakal melabuhkan tirainya esok.

Beliau yang menyambut ulang tahun kelahirannya ke-67 pada semalam berkata, kejayaan memenuhi sasaran ditetapkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) itu, turut didorong oleh kerjasama erat yang ditunjukkan oleh semua pihak termasuk Majlis Sukan Negara (MSN) dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

"Saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Presiden Kesatuan Renang Amatur Malaysia, Datuk Seri Shahidan Kassim yang sanggup datang dari jauh untuk memberikan sokongan kepada atlet negara," katanya ketika ditemui pemberita, di sini, hari Sabtu.

Muhammad Nazreen Abdullah dan Ooi Tze Liang menyumbang pingat emas ke-40 untuk kontinjen negara selepas memenangi acara terjun 10m platform seirama lelaki yang berlangsung di Pusat Akuatik Wunna Theikdi, hari ini.

Berkongsi nada yang sama ialah Ketua Pengarah MSN, Datuk Seri Zolkples Embong yang turut melahirkan rasa syukur dan gembira di atas kejayaan kontinjen negara meraih sasaran berkenaan pada edisi ke-27 temasya Sukan Sea.

"Seperti biasa sebelum ini, kita banyak meraih emas tetapi ini yang ke-40, tentu saya berasa gembira dan ini sangat bermakna buat rakyat Malaysia.

"Ia juga membuktikan bahawa atlet kita bersedia untuk membawa cabaran dan memenuhi harapan rakyat.

"Banyak tugas yang perlu dihadapi terutama menjelang temasya besar selepas ini, jadi sokongan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak jelas mendorong kejayaan atlet," kata Zolkples.

Dalam pada itu, Shahidan turut mengucapkan tahniah kepada kontinjen negara yang berjaya mencapai sasaran 40 pingat emas sebagaimana yang ditetapkan oleh KBS.

"Saya rasa bersyukur dan mengucapkan tahniah kepada kontinjen Malaysia," kata Shahidan yang merupakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.