Persatuan Bola Sepak Negeri Kedah (KFA) amat kecewa dengan keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam isu status pemain Harimau Muda, Gary Steven Robbat.

Itu luahan presiden KFA yang juga Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengenai keputusan FAM iaitu pemain Harimau Muda itu tidak terikat dengan mana-mana pasukan.

Jelas beliau, keputusan FAM itu seolah-olah Gary tidak pernah bermain dengan Kedah dan menjadi `ajen bebas' sedangkan Gary merupakan pemain kelahiran Kedah yang di asuh sejak bangku sekolah lagi malah dia terlibat dengan program pembangunan bola sepak di negeri itu.

Kedah sebelum ini berpegang pada prinsip dan mempertahankan peraturan FAM yang mengatakan mana-mana pemain yang dipinjamkan untuk bermain dengan pasukan kebangsaan haruslah di pulangkan semula ke negeri asal.

Namun dalam isu Gary ini, FAM mengatakan Gary milik FAM dan memberi kelonggaran untuk beliau menandatangani kontrak dengan pasukan lain sedangkan tiada perbincangan dan surat pelepasan di keluarkan oleh KFA.

“Dalam pendirian ini, saya juga rasa kecewa. Apa pun tindakan yang kita ambil ianya tidak langsung memihak kepada Kedah seolah-olah kami ni juga tidak ada langsung jasa bagi membangun walhal dia dulu sekolah sini di Kulim dan di Albukhary.


Katanya, sebagai langkah berwaspada pada masa hadapan, Kedah akan membuat surat perjanjian terlebih dahulu sekiranya pihak FAM mahu meminjam pemain negeri ini untuk bermain dengan pasukan kebangsaan.

“Ianya sebagai langkah mencegah dari berlakunya kes-kes seperti ini yang akhirnya merugikan pasukan Kedah yang selama ini mengeluarkan peruntukan dalam aspek pembangunan sukan bolasepak Kedah.


“Lepas ni kita kena ada perjanjian kalau tidak daripada pengalaman kami dah pernah berlaku dah sebelum ni dimana bila kita menyumbang pemain kepada FAM akhirnya dia tak balik. Ini tentunya membebankan persatuan negeri,” katanya selepas menerima zakat bantuan musibah banjir Kedah berjumlah RM300,000 daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAWIP).

Sumbangan tersebut disampaikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga pengerusi MAWIP, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Sebelum ini Gary menimbulkkan kontroversi apabila menjadi perebutan diantara pasukan Kedah, Johor Darul Tazim (JDT) dan Pahang.

Bagaimanpun mesyuarat jawatankuasa FAM yang diadakan petang semalam memutuskan Gary bersalah dan digantung tiga bulan serta di denda RM50,000 kerana melanggar peraturan FAM mengenai perpindahan pemain.

Beliau di dapati bersalah kerana menandatangani kontrak secara tidak sah bersama JDT pada 21 Nov 2014 sebelum menerima surat pelepasan daripada FAM terlebih dahulu yang dikeluarkan pada 1 Disember 2014.

Selain itu, Gary tidak dibenarkan menyertai sebarang kejohanan dalam saingan Liga Malaysia dan semua kontrak bersama pasukan JDT dan Pahang yang ditandatangani sebelum ini terbatal.

Gary juga tidak terikat dengan mana-mana pasukan dan di beri status ejen bebas walaupun pemain itu berasal dari Kedah.