Difahamkan, format pertandingan kali ini menetapkan peraturan atlet beraksi dalam tiga acara untuk memenangi satu pingat emas berbanding hanya dua acara sebelum ini.
Presiden Persekutuan Wushu Malaysia (PWM) Datuk Chong Kim Fatt berkata tindakan tuan rumah itu jelas melanggar peraturan yang ditetapkan Persekutuan Wushu Dunia dan Asia.
Beliau berkata PWM telah mengemukakan bantahan berhubung perkara itu bulan lepas namun masih belum mendapat sebarang maklum balas daripada pihak penganjur.
“Kebiasaannya peserta akan beraksi dua acara untuk memenangi satu pingat, tetapi Thailand buat kombinasi tiga acara untuk menang satu pingat.
“Dengan hari pertandingan yang terhad iaitu tiga hari, ia akan memberi risiko kepada atlet untuk mengalami kecederaan. Kami sudah kemukakan surat bantahan tetapi setakat ini belum ada maklum balas,” katanya ketika ditemui media selepas mesyuarat jawatankuasa kerja (JKK) di Majlis Sukan Negara (MSN) hari ini.
Sementara itu, Kim Fatt turut meluahkan kekecewaanya apabila tiada peruntukan tambahan diberikan kepada wushu meskipun beberapa atletnya akan beraksi di kejohanan dunia, Asia dan Sukan SEA pada tahun depan.
Menurut beliau, pihaknya akan mengadakan perjumpaan bersama Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh bagi membincangkan perkara berkenaan.
“Kami dimaklumkan pada mesyuarat hari ini bahawa peruntukan adalah sama seperti tahun lepas (RM2 juta) dan ia adalah satu cabaran untuk kami.
“Bagaimanapun kami tetap beri sumbangan dalam kejohanan dunia, Sukan Asia dan Sukan SEA. Peruntukan yang ada ketika ini tidak cukup, kalau boleh tambah RM500,000 lagi,” katanya.
-- BERNAMA