SURABAYA: Skuad judo negara menutup kempen judo di Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2024 dengan kutipan tiga pingat emas tiga perak dan satu gangsa, menyaksikan kem judo negara menjadi pasukan kedua terbaik pada temasya sukan berprestij itu.

Pada hari terakhir kempen sukan tempur itu semalam, Malaysia menutup tirai dengan menyambar pingat perak menerusi acara berpasukan campuran selepas menamatkan aksi round robin di kedudukan kedua.

Pengurus pasukan Wan Eizalie Wan Mohamed Nor berkata prestasi yang ditampilkan skuad negara itu memuaskan kerana berjaya melepasi sasaran awal dua pingat emas ketika pertama kali menjejakkan kaki di bumi Surabaya.

"Secara keseluruhan, pasukan judo telah menunjukkan prestasi yang sangat baik sepanjang saingan AUG 2024. Kesemua atlet masing-masing lima lelaki dan wanita berjaya membawa pulang pingat menerusi acara individu dan berpasukan.

"Dengan barisan jurulatih kebangsaan yang dibawa bersama, ia memberikan satu suntikan semangat kepada atlet judo kita untuk beraksi dengan baik di AUG ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sepanjang empat hari saingan judo di temasya sukan dwi-tahunan itu, Malaysia meraih tiga pingat emas menerusi Afiq Danish Zapri dalam kategori bawah 90 kilogram (-90kg), Amir Daniel Abdul Majeed (-81kg) dan Nur Farah Izzati Wallah (-52kg).

Perak pula diraih Siti Roha Maszuraini menerusi kategor +78kg, Muhammad Fareez Mohameid (-60kg) serta acara berpasukan campuran manakala gangsa disumbangkan Tan Yi Ying (-73kg).

"Walaupun tempoh latihan bersama agak terhad tetapi atlet-atlet judo kita dapat menerima segala teknik serta tunjuk ajar daripada jurulatih dengan begitu baik. Selain itu, mereka juga menunjukkan disiplin yang cukup tinggi.

"Dengan barisan kejurulatihan kebangsaan yang dibawa bersama sedikit sebanyak memberikan suntikan semangat kepada atlet-atlet kita untuk menampilkan aksi terbaik pada AUG kali ini," katanya.

Malaysia setakat ini berada di tangga ketiga carta pungutan pingat dengan 11 pingat emas, 14 pingat perak dan 19 gangsa di belakang Thailand di kedudukan kedua dan Indonesia di tangga teratas.

-- BERNAMA