Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam kenyataan semalam memaklumkan Harith Haiqal, 22, menggantikan pemain Negeri Sembilan FC Muhammad Harith Samsuri, 24, yang mengalami kecederaan manakala Haziq Aiman, 19, pula menggantikan penjaga gol Terengganu FC Muhammad Rahadiazli Rahalim, 23, kerana masalah kesihatan.
"Seorang lagi pemain iaitu Mohammad Haykal Danish Mohd Haizon, 19, dari Selangor FC B-23 turut dipanggil menyertai kem skuad Harimau Malaya sebagai pemain tambahan jika berlaku kecederaan atau sebarang kemungkinan ke atas pemain-pemain lain," menurut kenyataan itu.
Sementara itu FAM turut memaklumkan senarai akhir 26 pemain untuk didaftarkan bagi kempen Kejohanan ASEAN 2024 hanya akan dimuktamad pada Sabtu ini (7 Dis) sehari sebelum perlawanan pertama Kumpulan A, Malaysia bertemu Kemboja di Stadium Olimpik, Phnom Penh pada Ahad, (8 Dis).
Selepas bertemu Kemboja, pasukan negara kemudian akan bertemu Timor-Leste di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 11 Dis, sebelum berdepan juara bertahan Thailand di Bangkok (14 Dis) dan menutup saingan kumpulan menentang Singapura di Stadium Nasional pada 20 Dis.
Sebagai rekod, pada 2010 Malaysia muncul juara kejohanan ASEAN yang dahulunya dikenali sebagai Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF).
-- BERNAMA