Bagaimanapun, pengendali JDT Hector Bidoglio berkata pasukannya sudah membuat persiapan rapi menentang kelab dari Korea Selatan itu di hadapan penyokong sendiri di Stadium Sultan Ibrahim di sini.
"Kita menjangkakan satu pertembungan yang sengit malam esok tetapi kita tidak boleh mensia-siakan peluang mengutip tiga mata penuh apabila beraksi di stadium keramat kita sendiri.
"Walaupun Pan Gon mengenali ramai pemain JDT, itu tidak bermakna beliau mempunyai kelebihan ke atas kami. Apapun, kami akan menumpukan perhatian pada aksi pasukan kerana semua pemain kami berada dalam keadaan baik," katanya semasa sidang media pra-perlawanan di sini hari ini.
Dalam pada itu, bek tengah Harimau Selatan Jordi Amat berkata mereka akan memberikan yang terbaik dalam pertemuan esok an berharap penyokong dapat membanjiri stadium bagi memberikan sokongan padu untuk meraih kemenangan.
"Saya percaya Ulsan HD akan bermain secara agresif untuk mendapatkan mata dalam perlawanan esok. Sebagai pasukan hebat Korea Selatan itu, kita tidak boleh mengambil mudah," katanya.
Sementara itu, Pan Gon, ketua jurulatih Ulsan HD, berkata pasukannya bersedia memberikan segalanya dalam ACLE selepas mereka dinobatkan sebagai juara Liga K1 Korea (Liga K1) baru-baru ini.
"Kami bersedia untuk berdepan JDT dan memenangi perlawanan pertama kami dalam kejohanan ini. Saya berharap para pemain akan kekal fokus dan tidak melakukan kesilapan kerana JDT cukup kuat apabila bermain di tempat sendiri," katanya.
Dalam perlawanan ACLE pertama, JDT seri 2-2 dengan Shanghai Port FC, menang 3-0 ke atas Shanghai Shenhua FC dalam perlawanan kedua tetapi tewas 1-3 kepada Gwangju FC dalam perlawanan ketiga.
-- BERNAMA