Ketiadaan acara tenis dalam temasya Sukan SEA di Myanmar Disember depan nyata mengecewakan pemain negara, Syed Agil Syed Naguib.

Namun dia menerimanya dengan hati terbuka kerana pihak pengurusan juga tidak menunjukkan usaha bagi menghantar pasukan ke temasya berkenaan.

“Kami kecewa juga sebenarnya tapi terima je, sebab pihak atas pun dah tak nak hantar team jadi so kita nak buat macam mana, kita terima,” katanya.

Sebelum ini, sebanyak sembilan acara digugurkan jawatankuasa penganjur Sukan SEA Myanmar, MYASOC, termasuklah tenis, berbasikal dan badminton.

Acara tenis digugurkan MYASOC atas alasan ketiadaan gelanggang.

Lantas pemain yang bakal mencecah usia 19 tahun, 1 Februari ini mahu lebih menumpukan perhatian kepada kejohanan lain, termasuk saingan jelajah ATP terbuka Malaysia Oktober nanti.

Syed Agil antara pemain yang sedang meningkat naik bagi menggantikan Si Yew Ming sebagai perseorangan utama negara.

Tahun lepas, beliau mencipta kejutan dengan memenangi emas pada temasya sukan Universiti Asean, Aug di Vientiane, Laos.

Rentak itu diteruskan Syed Agil selepas menjuarai saingan beregu lelaki bersama Ashaari Zainal dalam kejohanan sirkit kebangsaan BMW 2013 di Pusat Tenis Kebangsaan Jalan Duta.