KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bersetuju menyalurkan bantuan RM100,000 kepada Persatuan Gimnastik Negeri Terengganu (PGNT) bagi membangunkan sukan gimnastik di negeri tersebut.

Menterinya Hannah Yeoh dalam satu kenyataan memaklumkan bantuan melalui Majlis Sukan Negara (MSN) itu bertujuan untuk menambah baik peralatan sedia ada sekali gus dapat memperkasakan lagi sukan tersebut.

Hannah menyatakan bantuan tersebut dihulurkan selepas KBS mengadakan mesyuarat bersama PGNT Khamis lepas dihadiri oleh Presidennya Abdul Razak Mat Amin serta ahli jawatankuasa persatuan dan ibu bapa atlet gimnastik negeri.

"Saya juga ingin mengumumkan bahawa Majlis Sukan Negara akan menempatkan jurulatih gimnastik wanita di Dewan Gimnastik Bukit Payung Terengganu bagi membolehkan lebih ramai gimnas wanita dapat dikenal pasti dan diberikan latihan harian yang lebih sistematik.

"Ini adalah bagi memastikan bakal-bakal gimnas wanita yang berminat berkecimpung dalam sukan gimnastik diberi peluang mendapatkan latihan dan pendedahan yang sewajarnya tanpa sebarang sekatan," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata mesyuarat turut membincangkan tentang langkah-langkah yang boleh diambil KBS bagi menyelesaikan isu pemakaian gimnas wanita Terengganu.

Hannah berkata demikian berhubung pendirian kerajaan negeri Terengganu yang sebelum ini kekal dengan pendirian melarang penyertaan mereka dalam sukan gimnastik pada mana-mana kejohanan termasuk temasya Sukan Malaysia (Sukma).

-- BERNAMA