KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan memastikan infrastruktur sukan dalam negara mudah diakses bukan sahaja kepada atlet kebangsaan tetapi juga orang ramai.

Menteri berkenaan Hannah Yeoh berkata langkah itu penting bagi pembangunan sukan di peringkat akar umbi.

"Sebagai contoh skuasy, kita lihat banyak jaguhnya datang daripada Kedah, tetapi kita tahu di Kedah sendiri tidak banyak infrastruktur gelanggang skuasy, jadi kita akan lihat bagaimana kita boleh bagi kemudahan berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa menyaksikan Kejohanan Skuasy Terbuka Remaja Antarabangsa Kuala Lumpur ke-14 di Pusat Skuasy Nasional Bukit Jalil di sini hari ini.

Dalam pada itu, Hannah berkata KBS sedang giat berjumpa persatuan-persatuan sukan bagi membincangkan hal berkaitan keperluan dan kebajikan para atlet.

Beliau berkata pihaknya akan mengumpul maklum balas hasil perjumpaan berkenaan termasuk bersama atlet hingga akhir Disember ini sebelum merangka dasar baharu kementeriannya dalam pembangunan sukan tanah air.

"Semalam, saya berjumpa dengan jaguh berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang untuk meminta cadangan memajukan sukan dan bagaimana lagi cara memberi pendedahan kepada atlet kita," katanya.

Mengulas mengenai Kejohanan Skuasy Terbuka Remaja Antarabangsa Kuala Lumpur itu, Hannah berkata KBS akan membantu pihak berkepentingan dalam memperbanyakkan lagi kejohanan di peringkat bawah umur dalam negara.

"Untuk penganjuran saya telah mengumpul maklumat daripada penganjur, berapa kos yang diperlukan untuk mengadakan kejohanan dan selepas ini kami akan membantu apa yang boleh untuk mereka anjurkan lagi," katanya.

-- BERNAMA