SHAH ALAM: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan terus mempergiatkan promosi dalam menjadikan pusat beli-belah sebagai kawasan aktiviti riadah dan sukan yang selamat.

Menterinya Hannah Yeoh berkata dengan adanya ruang di dalam pusat beli-belah sekali gus dapat mempromosikan sukan kepada pengunjung yang datang dan mendorong mereka untuk menyertai sukan khususnya kepada bakat-bakat baharu.

"KBS telah adakan beberapa mesyuarat secara dalam talian dan fizikal bersama pusat beli-belah dan peruncit, kerana gedung beli-belah di Malaysia semua besar-besar.

"Pusat beli-belah ini juga ada banyak tapak dan ruang yang sesuai dengan aktiviti khususnya Rakan Muda. Tahun ini juga telah ada perancangan serta kerjasama dengan banyak pusat beli-belah untuk mempromosikan aktiviti sukan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Digital Sport Arena di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Hannah turut mencadangkan agar setiap ruang dalam pusat beli-belah yang ingin dijadikan sebagai kawasan riadah atau sukan perlu ditingkatkan keselamatannya antaranya dengan menambah bilangan unit kamera litar tertutup (CCTV) untuk memantau kawasan berkenaan.

-- BERNAMA