JURGEN Klopp berjanji untuk membantu menyelesaikan kontroversi Liverpool dan 11 kelab lain yang mengumumkan pembentukan kejohanan baru, Liga Super Eropah (ESL).

Pasukan bimbingannya itu diikat 1-1 bertemu Leeds United di Elland Road, awal pagi tadi, dengan gol penyamaan Diego Llorente memadam jaringan pembukaan Sadio Mane dalam separuh masa pertama yang menafikan hasrat mereka untuk memintas West Ham dalam kelompok empat pasukan teratas atas perbezaan gol.

Apa ertinya pemburuan kelayakan Liga Juara-Juara (UCL) bagi juara 2019 itu dalam konteks ESL, lantas Klopp membangkitkan persoalan mengenai Liga Super dan tindak balas yang boleh ditimbulkannya sebelum dan sesudah perlawanan.

Dalam wawancara bersama Sky Sports selepas perlawanan, Klopp berkata: "Saya memahami kesemua perbincangan ini dan saya juga tidak menyukainya."

Namun, sidang media berikutnya, pengurus dari Jerman itu menegaskan bantahannya terhadap ESL itu tidak akan mendorongnya untuk meninggalkan Anfield kerana berasakan dia masih mempunyai tugas untuk menjaga pemain dan penyokong.

"Saya di sini sebagai jurulatih bola sepak dan pengurus. Saya akan melakukannya selagi orang membenarkan saya melakukannya," katanya.

"Hari ini ada laporan yang mengaitkan saya akan mengundurkan diri. Keadaan menjadi bertambah rumit, ia membuatkan saya lebih terkesan kerana saya ada di sini.

"Saya berasa bertanggungjawab terhadap pasukan, kelab dan juga peminat.

"Saya pasti ini tempoh yang sangat sukar. Tetapi saya akan berusaha membantu menyelesaikannya." 


Klopp berkata dia masih mempercayai pemilik Liverpool yang berpangkalan di Boston, Fenway Sports Group, adalah "pihak yang munasabah", namun menyatakan dia telah dibiarkan dalam kegelisahan mengenai perbincangan kejohanan itu yang disifatkannya sebagai kedai tertutup dan anti persaingan.

"Saya sudah enam tahun di kelab ini. Saya mengenali pemiliknya. Mereka adalah orang yang serius, orang yang bertimbang rasa dan mereka mengambil berat tentang kami," katanya.

"Tetapi mereka tidak perlu menjelaskan keputusan ini kepada saya atau meminta izin. Saya sama sekali tidak terlibat dalam proses ini, saya hanya mendapat maklumat mengenainya semalam.

"Tiada siapa yang tahu apa yang akan berlaku tetapi pasukan tidak ada kaitan dengannya malah saya juga sebenarnya tidak ada kaitan dengannya, tetapi orang memperlakukan kami seperti itu.

"Penyokong Leeds datang ke sini malam ini dan berteriak kepada kami. Petang ini ketika kami berjalan-jalan di bandar orang juga memekik ke arah kami. Kami tidak ada kaitan dengan itu."

Klopp menambah: "Kami adalah pekerja kelab dan saya rasa bertanggungjawab atas banyak perkara di kelab ini. Sekiranya saya terlibat dalam perkara-perkara ini maka saya boleh menerima kritikan ini dengan mudah. ​​Anak buah saya juga begitu.

"Tetapi kami tidak terlibat dalam hal ini. Ini keadaan yang sukar buat masa ini -- pakar bercakap mengenai kelab dan perkara seperti ini. Kelab ini lebih besar daripada kita semua, ia sesuatu yang kita tidak boleh melupakannya."