Perenang wanita negara, Phee Jing En berhasrat untuk mengatasi catatan masa terbaik peribadinya iaitu 1 minit 10.47 saat dalam kejohahan kelayakan 100 meter kuak dada ke Sukan Olimpik Rio, Ogos nanti.

Pelajar University Taylor berusia 17 tahun itu cenderung untuk mengurangkan catatan masanya kepada 1'10.22 saat bagi kelayakan standard 'B' Sukan Olimpik sempena Kejohanan Renang Kumpulan Umur Jemputan Malaysia ke-52 yang akan berlangsung di Pusat Akuatik Darul Ehsan, Shah Alam, dari 31 Mac hingga 3 April depan.

Catatan masa Standard "A" ditetapkan bagi perenang yang menduduki tempat ke-16 dalam pusingan awal Sukan Olimpik 2012 manakala catatan masa standard "B" tidak secara khusus terikat kepada sebarang kejohanan renang Olimpik.

Jin En berjaya mencatat masa peribadi terbaik apabila memenangi pingat emas dalam Acara 100m kuak dada pada Sukan SEA 2015 di Singapura.

"Saya agak yakin dapat mengurangkan masa saya dalam kejohanan (Shah Alam) tetapi saya tidak pasti jika boleh mencapai standard ke Sukan Olimpik kerana saya perlu mengatasi masa kelayakan pertama," katanya kepada pemberita selepas menerima Anugerah Olahragawati 2015 pada majlis anugerah sukan Institusi Pengajian Tinggi Swasta yang diadakan di Universiti Tun Abdul Razak di sini malam tadi.

Jing En berkata selepas kejohanan di Shah Alam itu, beliau akan mengambil bahagian dalam beberapa siri kejohanan lain, termasuk Kejohanan Renang Terbuka Malaysia ke-59 yang akan diadakan di Shah Alam dari 5 hingga 8 Mei, sebelum menyertai skuad kebangsaan untuk latihan intensif di Eropah, Jun depan.

Katanya, beliau dan perenang lain begitu bersemangat ekoran kejayaan perenang negara, Welson Sim meraih dua slot ke Sukan Olimpik Rio.

Welson, 18, menempah tiket ke Rio selepas meraih emas dalam acara 200m dan 400m gaya bebas lelaki pada Kejohanan Peringkat Umur Kebangsaan di Singapura, baru-baru ini.

"Walaupun berlatih dalam negara, beliau (Welson) membuktikan kepada orang lain bahawa kita juga mempunyai peluang untuk mencapai matlamat jika berusaha dengan gigih," kata Jing En.