FRANKFURT: Bola sepak Jerman akan menguji sistem pengumuman di stadium oleh pengadil perlawanan mulai hujung minggu depan di beberapa arena Bundesliga dan divisyen kedua terpilih, menurut Liga Bola Sepak Jerman (DFL) pada Isnin, lapor agensi berita Jerman (dpa).

DFL menyatakan bahawa skim Pengumuman Awam melalui sistem siaraya itu bertujuan meningkatkan ketelusan selepas campur tangan Video Assistant Referee (VAR).

"Pengadil akan bercakap kepada penonton setiap kali beliau memasuki kawasan semakan di tepi padang untuk menilai keputusan melalui monitor - atau apabila beliau mengubah keputusan selepas campur tangan pembantu video," kata DFL.

"Pengadil akan memaklumkan kepada penonton fasa aksi perlawanan yang telah disemak, hasil semakan tersebut dan keputusan akhir. Pengumuman itu juga akan dimasukkan ke dalam siaran langsung rakan media."

Projek perintis itu akan bermula dengan lima perlawanan hujung minggu depan, termasuk aksi pendahulu Bundesliga, Bayern Munich menentang Holstein Kiel dan juara Bayer Leverkusen menentang Hoffenheim.

Secara keseluruhan, sembilan kelab bersetuju menguji projek tersebut di stadium mereka, antaranya kelab Bundesliga Borussia Dortmund, Freiburg, RB Leipzig, Eintracht Frankfurt dan St Pauli, serta kelab divisyen kedua Fortuna Dusseldorf dan Greuther Furth.

"Walaupun terdapat banyak perbincangan kontroversi mengenai pembantu video, kami mahu terus bekerjasama dengan DFL dan kelabnya untuk membantu menjadikan keputusan pengadil lebih telus di stadium," kata Knut Kircher, pengarah urusan bahagian pengadilan Persatuan Bola Sepak Jerman.

"Kami melihat 'Pengumuman Awam' ini sebagai langkah awal yang jelas ke arah lebih penjelasan dan telah melatih prosedur ini secara teliti dengan pengadil kami. Oleh itu, kami yakin dapat menyokong prosedur baharu ini dengan berjaya, walaupun ia akan terasa asing pada mulanya."

Sistem ini telah digunakan pada Piala Dunia Wanita 2023 di Australia dan New Zealand serta Piala Kelab Dunia lelaki. Ia juga sedang diuji di Portugal dan separuh akhir Piala Liga di England.

Sukan lain seperti bola sepak Amerika dan hoki ais telah lama menggunakan pengumuman awam oleh pengadil.

-- BERNAMA