Jepun memenangi Kejuaraan Bawah 16 (B-16) Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) buat kali ketiga setelah menang tipis 1-0 ke atas Tajikistan pada aksi final di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini, malam tadi.

Untuk rekod, Jepun pernah memenangi gelaran sama pada 1994 dan 2006.

Jun Nishikawa muncul wira skuad muda Samurai Biru pada perlawanan berkenaan apabila menjaringkan gol tunggal perlawanan pada minit ke-62.

Lebih manis, Nishikawa diumumkan sebagai pemain paling bernilai (Most Valuable Player) kejohanan, manakala pasukan Jepun menerima anugerah 'Fair Play' setelah hanya mengutip empat kad kuning sepanjang kejohanan berkenaan.

Pada aksi malam tadi, penguasaan bola jelas memihak kepada Jepun yang melakukan serangan bertali arus ke kubu Tajikistan, namun kekebalan benteng pertahanan Tajikistan selain ketangkasan penjaga gol lawan, Mukhriddin Khasanov menyaksikan perlawanan berkesudahan seri tanpa jaringan sehingga tamat separuh masa.

Sebaik sahaja perlawanan disambung, skuad muda Samurai Biru kembali menggandakan asakan untuk memburu gol pembukaan.

Mereka berjaya mendahului perlawanan pada minit ke-57 menerusi Ryuma Nakano hasil hantaran Keita Nakano, namun gol berkenaan tidak disahkan pengadil perlawanan kerana seorang lagi pemain Jepun, Shoji Toyama didakwa berada pada kedudukan ofsaid sewaktu gol berkenaan terhasil.

Nishikawa memastikan kejuaraan ketiga untuk skuad kendalian Toshiyo Moriyama apabila melepaskan rembatan leret hasil hantaran Ryuma Nakano pada minit ke-62 dan keputusan 1-0 itu kekal sehingga tamat perlawanan.

Untuk rekod, Jepun dan Tajikistan layak ke Piala Dunia B-17 di Peru tahun depan setelah mara ke peringkat separuh akhir Kejuaraan B-16 AFC.

Mereka diiringi oleh Australia dan Korea Selatan yang kalah pada peringkat separuh akhir sebelum ini.

-- BERNAMA