RAMAI yang terpegun dengan jaringan ‘tendangan basikal’ Cristiano Ronaldo dalam suku akhir Liga Juara Eropah (UCL) pada Rabu.

Jaringan keduanya itu membantu Real Madrid melakar kemenangan 3-0 ke atas juara Serie A, Juventus.

Namun tidak semua yang kagum dengan aksi Ronaldo itu, salah seorang daripadanya sensasi terbaharu LA Galaxy, Zlatan Ibrahimovic.

Dalam wawancara bersama ESPN Sportcenter, Ibrahimovic memuji Ronaldo sebagai 'mesin gol namun pada masa sama merasakan jaringan oleh pemain kebangsaan Portugal itu tidak terlalu hebat.

Sambil tersenyum dia mencabar Ronaldo untuk melakukan aksi sama dari jarak jauh.

“Gol itu cantik, tapi dia patut cuba dari jarak 40 meter” kata bekas pemain kebangsaan Sweden itu.

Usikan nakal Ibrahimovic itu ibarat jelas merujuk kepada jaringan sulungnya dari jarak sama ketika membantu LA Galaxy menang 4-3 ke atas LAFC pada hujung bulan lalu.