BEKAS jaguh angkat berat negara, Che Mohd Azrol Che Mat, 45 tahun meninggal dunia malam tadi akibat serangan jantung.

Allahyarham sebelum itu dimasukkan ke hospital sejak 10 hari lalu.

Pemenang pingat emas Sukan SEA Vietnam 2003 dan 2005 itu menghembuskan nafas terakhir sekitar jam 7.09 malam tadi di Hospital Sultanah Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu.

Sebelum ini, Allahyarham dilaporkan mempunyai masalah kegagalan buah pinggang selain lelah dan telah dimasukkan ke hospital tersebut sebelum ditidurkan.

Menurut ahli keluarganya, penyakit tersebut dialami oleh Allahyarham sejak sembilan tahun lalu.

"Mengikut laporan, arwah abang saya juga dijangkiti kuman dalam paru-paru selain kegagalan buah pinggang yang dihidapinya sejak sembilan tahun lalu.

"Arwah menghembus nafas terakhirnya di sisi keluarga kira-kira jam 7.09 malam tadi di HSNZ akibat serangan jantung sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Kecil lebih kurang jam 9.30 malam tadi," kata diknya, Suraya kepada media.

Allahyarham yang berasal dari Kampung Losong Haji Su, Kuala Terengganu merupakan jaguh Terengganu dalam Sukan Malaysia (SUKMA).

Allahyarham juga pernah berkhidmat dengan Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) sebagai jurulatih pembangunan angkat berat pada 2017. - Stadium Astro