AFC BOURNEMOUTH 0 LIVERPOOL 4

Mohamed Salah memaparkan pesona bintang selepas menjaringkan hatrik ketika Liverpool menewaskan AFC Bournemouth 4-0 dalam saingan Liga Perdana Inggeris, sebentar tadi.

Pengendali Liverpool, Jurgen Klopp, berkata sebelum perlawanan, Manchester City tidak perlu berasakan tekanan menjelang kunjungan mereka ke Chelsea jika The Reds berada di atas mereka.

Namun, juara bertahan itu perlu membuktikan kata-kata Klopp itu selepas Liverpool melonjak ke kedudukan teratas Liga Perdana menerusi satu lagi aksi menakjubkan di Stadium Vitality.

Liverpool memperoleh deretan peluang dalam babak pertama sebelum Salah menghasilkan jaringan dari jarak dekat walaupun kelihatan berada dalam kedudukan ofsaid.

Bintang Mesir itu tidak menunggu lama untuk menambah jaringan sebaik perlawanan bersambung selepas bijak memperdaya barisan pertahanan lawan sebelum Steve Cook terjaring bola ke gawang sendiri dan Salah melengkapkan hatrik tidak lama selepas itu.

Kemenangan itu turut memberikan memori indah buat James Milner yang melewati penampilannya yang ke-500 dalam saingan Liga Perdana Inggeris.

Liverpool hanya memerlukan 25 minit untuk membuka akaun jaringan sebaik rembatan Roberto Firminho gagal ditampan kemas Asmir Begovic.

Salah -- yang kelihatan berada dalam kedudukan ofsaid -- mudah menolak masuk jaringan tersebut.

Tiada sebarang kontroversi mengenai jaringan kedua Salah dalam babak kedua.

Dia meloloskan diri melepasi kawalan Cook dan Nathan Ake sebelum merembat masuk bola ke penjuru kanan gawang Begovic.

Peluang Bournemouth untuk melakukan kebangkitan seakan-akan musnah sebaik Cook tersungkit bola ke gawang sendiri.

Salah melengkapkan keputusan perlawanan dengan gerakan solo menarik menewaskan Cook dan Begovic menerusi penyudah tenang.