Tunku Mahkota Johor dan penaung Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menggesa Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk mengambil sikap tegas dalam mengekang korupsi atur perlawanan yang menghalang bola sepak Malaysia berkembang.


Ketika bercakap mengenai sejarah hitam Malaysia diaibkan UAE 10-0 dalam temubual bersama BBC, Tunku Ismail juga meluahkan rasa tidak puas hati dengan denda dikenakan kepada pihak yang salah seperti pergantunggan perlawanan ataupun bayaran denda yang tidak padan dengan kesalahan tersebut.

"FAM perlu tegas apabila berdepan kes korupsi. Bagi saya, denda RM3,000 atau pergantunggan perlawnaan selama tiga bulan langsung tidak memberi kesan.

"Sekiranya FAM mempunyai bukti yang kukuh dalam isu yang membabitkan korupsi maka mereka patut mengharamkan pemain tersebut daripada beraksi lagi," katanya.

Dalam pada itu, Tunku Ismail turut mencadangkan pembangunan akademi bola sepak buat kelab Liga Malaysia bagi mendidik pemain-pemain pada usia yang muda, namun baginda sedar masalah kewangan yang dihadapi kelab masing-masing.

"Mereka (FAM) seolah-olah tidak mempunyai perancangan untuk membangunkan bola sepak negara kerana tidak menjiwai sukan ini tetapi kemaraan Johor Darul Ta'zim (JDT) ke separuh akhir Piala AFC amat menakjubkan bagi saya," katanya.

"Saya sedar bukan mudah untuk mengubah imej bola sepak Malaysia tetapi saya mengharapkan prestasi JDT akan memaksa kelab lain berfikiran seperti kami dengan melahirkan bakat muda serta menambahbaikan kemudahan sukan yang sedia ada dan terutama sekali, memerangi korupsi.

"Adanya akademi bola sepak tersendiri mampu mendidik pemain-pemain kami untuk mengelakkan diri mereka daripada perkara negatif tetapi malangnya, kami masih memiliki kelab yang gagal untuk membayarkan gaji pemain sekali gus membuka pintu untuk korupsi.

"Saya percaya kami dapat membangunkan semula bola sepak Malaysia menerusi sikap yang profesional kerana kami memiliki prospek yang berbakat tetapi kami perlu bertekad untuk mencapai hasrat kami" tambahnya.