DOHA: Indonesia meraih kemenangan pertama dalam saingan Kumpulan D Piala Asia 2023 selepas mengejutkan Vietnam 1-0 di Stadium Abdullah bin Khalifa, di sini, pada Jumaat.

Kapten dan pemain pertahanan, Asnawi Mangkualam Bahar muncul wira Indonesia apabila menjaringkan gol kemenangan menerusi penalti pada babak pertama perlawanan untuk membantu skuad Garuda mengumpul tiga mata penuh.

Kejayaan itu menghidupkan peluang Indonesia bimbingan pengendali dari Korea Selatan, Shin Tae Yong dalam mencipta sejarah layak ke pusingan kalah mati buat julung kali pada penampilan kelima di pertandingan bola sepak terulung Asia itu.

Pada pertembungan tersebut, Indonesia, yang tewas 1-3 kepada Iraq pada aksi pembukaan Isnin lepas, lebih menonjol sejak sepak mula, namun Vietnam secara perlahan memberikan saingan yang menyaksikan perlawanan menjadi sengit sehingga kesilapan yang dilakukan Nguyen Thanh Binh dalam kotak penalti.

Peluang keemasan itu tenang disempurnakan Asnawi yang melepaskan rembatan kencang kaki kanan ke arah tengah gawang, menewaskan penjaga gol skuad Naga Emas, Filip Nguyen untuk meletakkan Indonesia di depan pada minit ke-42.

Tersentak dengan jaringan itu, Vietnam menggandakan asakan dan lebih menguasai permainan pada babak kedua dalam usaha memburu gol penyamaan yang menyaksikan beberapa percubaan dilakukan gagal menemui sasaran, selain diselamatkan penjaga gol Ernando Ari Sutaryadi.

Percubaan demi percubaan Vietnam terus gagal menghasilkan jaringan, sebaliknya Indonesia terlepas peluang terbaik untuk menambah jaringan selepas rembatan Hokky Caraka yang menerima hantaran menerusi tandukan Sandy Walsh sedikit tersasar pada minit ke-81.

Vietnam, yang tewas 2-4 di tangan Jepun pada aksi pertama, terus dirundung malang apabila pemain gantian Le Pham Thanh Long diperintah keluar padang pada masa kecederaan babak kedua selepas mengutip dua kad kuning dalam tempoh kurang daripada 10 minit.

Kekalahan itu menyaksikan skuad bimbingan Philippe Toussier tersingkir daripada saingan dan akan melengkapkan bagi aksi kumpulan menentang Iraq yang sudah pun mengesahkan kemaraan ke pusingan 16 terbaik selepas mencipta kejutan menumbangkan Jepun 2-1 pada satu lagi perlawanan.

Pada perlawanan di Stadium Education City itu, penyerang Ayman Hussein menjulang Iraq yang dibimbing Jesus Casas Garcia dengan dua jaringannya pada separuh masa pertama untuk mengatasi juara terbanyak dan pasukan pilihan kempen kali ini.

Jepun dan Indonesia akan membuat perhitungan pada aksi terakhir Rabu depan dalam misi masing-masing melangkah ke pusingan kalah mati.

Ketika ini, Iraq selesa mendahului Kumpulan D dengan mengumpul enam mata, diikuti Jepun dan Indonesia yang berkongsi tiga mata manakala Vietnam tercorot tanpa mata. - BERNAMA