Fenrir yang sedang menuntut jurusan kewangan di sebuah Institut Pengajian Tinggi Awam berkata dia tidak akan mensia-siakan peluang terakhirnya itu untuk beraksi di pusingan penentu kejohanan FIFA eWorld Cup (FEWC) yang menjadi idaman setiap pemain permainan FIFA di seluruh dunia.
“Sebenarnya jalan untuk melayakkan diri ini memang mencabar memandangkan pesaing dari luar negara mempunyai pasukan FIFA Ultimate Team (FUT) yang lebih hebat.
“Sejujurnya saya jarang bermain FIFA selepas kejohanan Liga E-Sukan Malaysia (MESL). Selepas dapat tahu pemenang liga ini akan mendapat ‘tiket’ ke FEWC, memang saya membuat keputusan untuk fokus dan bermain FIFA sekurang-kurangnya empat jam sehari selama seminggu.
“Alhamdulillah, saya dapat wakili Malaysia yang akan menjadi tuan rumah grand final ESL Asia,” katanya kepada Astro AWANI hari ini.
Fenrir ketika menjuarai FIFA 18 MESL
Selain Fenrir, tujuh lagi pemain FIFA 18 terbaik dari Asia bakal berentap dalam Liga Asia Playstation yang menawarkan hadiah wang terkumpul kira-kira RM38,000 (AS$10,000) dan kelayakan ke FEWC.
Sebanyak empat pusingan kelayakan telah diadakan bagi liga tersebut dan setiap dua pemenang dalam pusingan itu akan bertarung ke acara utama yang berlangsung pada 13 Mei depan di Battle Arena, Petaling Jaya.
Menurut Fenrir yang kini diurus organisasi Gamesbond berkata dia masih mahu bertarung dengan pemain profesional di peringkat antarabangsa sebelum FIFA 18 berakhir.
“Saya mahu memenangi liga yang dianjurkan ESL Asia ini terus mendapatkan tempat dalam pusingan penentu FEWC di Paris,” katanya.
Nama Fenrir mula meningkat naik dalam arena e-sukan FIFA 18 sejak dia layak ke Piala Kejohanan FIFA Ultimate Team (FUT) di Barcelona pada Januari lepas.
Fenrir sebelum ini memenangi kejohanan FIFA 18 MESL pada Februari lalu dan mendapat tempat kedua dalam kejohanan e-sukan Malaysia Cyber Games (MCG) 2018 MCG pada Januari lalu.