Dia diangkat sebagai apit kiri terbaik STL Divisyen 1 musim ini berikutan memastikan kejayaan buat Kelantan Warriors.
Biarpun ia satu pencapaian yang menggembirakan tetapi ada rasa tidak sempurna jauh di hati kecilnya.
Enam bulan lalu, Adli kehilangan isterinya akibat kemalangan jalan raya, secara tidak langsung meninggalkan dirinya dan anak kecilnya yang tidak memahami apa-apa untuk meneruskan kehidupan.
Rentetan daripada tragedi hitam itu, Adli terlintas untuk bersara daripada sepak takraw berikutan memikirkan keutamaan anaknya yang memerlukan perhatian penuh.
Namun, dia akhirnya membuat keputusan pada saat-saat akhir untuk bersama dengan Kelantan Warriors musim ini.
Di sebalik kesedihan, kekuatan dan semangat isterinya jugalah yang membawanya kembali ke sukan takraw.
Kenangan manis dan dorongan arwah isterinya membuatkan Adli terfikir untuk bersara tetapi ia bukanlah apa yang dihajati arwah isterinya, Noramalina Rozi.
"Saya masih ingat ketika menang bersama PDRM ketika saya pulang dia akan ucap 'Abang! Tahniah menang.' sambil pegang anak saya.
"Jika dia masih ada pasti saya akan bahagia. Kini apabila saya pulang dia sudah tiada. Banyak kenangan bersama.
"Paling rezeki adalah jurulatih Kelantan tanya saya dan minta tolong agar datang ketika perlawanan, tetapi selepas saya berbincang dengan ibu saya dia kata 'Tiada apa Adli, biar mak bawa pulang anak ke kampung'.
"Rasa seronok tapi tidak cukup lengkap tanpa orang yang kita sayang. Hadiah kemenangan adalah untuk dia dan keluarga saya yang banyak bantu saya," katanya kepada wartawan Astro Arena, Fina Nasrom, di Nadi Weeekend malam tadi.