CELINE Chuang, nama yang mula meniti di bibir peminat bola sepak apabila menjadi pemain remaja wanita pertama Malaysia yang beraksi dengan sebuah kelab bola sepak gergasi di Jerman.
Beliau yang kini bersama kelab lelaki bawah 15 tahun FC Wacker Munchen e.V turut diberi peluang beraksi dengan pasukan kedua B-17 remaja wanita FC Bayern Munich.
Baru sahaja berusia 15 tahun, kelicikan pemain sayap skuad bawah 15 tahun remaja wanita kebangsaan itu pastinya memukau peminat bola sepak.
Celine mula berjinak-jinak dengan sukan tersebut empat tahun lalu selepas menyaksikan adik-beradiknya bermain bola sepak.
“Ibu saya minat dengan sukan dan beliau ingin saya melakukan sesuatu dengan masa terluang. Adik-beradik saya pernah bermain bola sepak juga dan ibu saya menjumpai kelab Bintang Biru.
“Beliau membawa saya untuk berlatih di situ setiap hujung minggu. Saya mula meminati sukan itu,” katanya dalam satu temu bual eksklusif bersama-sama Astro AWANI pada Sabtu.
Biarpun lewat berkecimpung dalam sukan berkenaan, namun remaja itu tidak berhenti mengasah bakatnya.
“Saya selalu hendak bermain bola sepak dan saya berpindah ke Thailand untuk mengasah kemahiran dan kecergasan sebab saya mahu jadi pemain professional.
“Itu memang satu cabaran sebab saya kurang kemahiran dan teknik ketika itu kerana bermula lewat.
“Di Thailand, saya terpaksa berlatih tujuh hari supaya tidak ketinggalan. Sekarang, kemahiran saya masih belum sempurna tetapi ia lebih baik, berbanding empat tahun lalu,” katanya.
Berkongsi pengalaman empat bulan di Jerman, Celine mendedahkan bahawa intensiti latihannya jauh berbeza dengan Malaysia.
BACA: Celine Chuang, pemain remaja wanita negara cipta nama dengan Bayern Munich
Katanya, beliau masih dalam fasa menyesuaikan diri berlatih dalam cuaca sejuk dan langit yang bertukar malam dengan lebih cepat.
“Ia memang sukar tetapi saya mula menyesuaikan diri, saya akan pergi ke padang kecil dengan abang saya dan kami akan berlatih melakukan hantaran dan jaringan.
“Pada waktu malam, jika saya mempunyai masa dan tiada peperiksaan dan kerja rumah, saya akan pergi berlari kerana kita tidak memerlukan cahaya untuk berlari,” jelasnya.
Biarpun latihan di Jerman amat kompetitif, Celine berkata ia suatu pengalaman yang seronok kerana dapat berkawan dengan lebih ramai orang, khususnya pemain-pemain di kelab tersebut.
“Ia sangat berdaya saing kerana ramai perempuan yang bercita-cita untuk menjadi pemain bola sepak profesional.
“Jadi, persaingannya sangat tinggi tetapi semua gadis sangat baik dan kami selalu suka berbual-bual dan bergurau.
“Latihan juga sangat kompetitif dan pada tahap yang sangat tinggi,” ujarnya.
Ditanya pula mengenai perancangan masa depannya, beliau mempunyai impian untuk bermain di Bundesliga dan tentunya Piala Dunia.
“Saya tidak mempunyai perancangan untuk kembali ke Malaysia kerana saya datang ke sini untuk melanjutkan pelajaran di Jerman.
“Mungkin pada masa depan, saya akan kembali. Tetapi, ia sukar untuk ditentukan ketika ini. Saya tidak pernah ke sini dan belum berkesempatan mendapat semua pengalaman yang ada.
“Saya berharap dapat bermain bersama pasukan pertama Bayern Munich di Bundesliga dan Piala Dunia menentang pasukan bola sepak yang hebat,” ujarnya.
Remaja yang turut meminati pemain bola sepak wanita tersohor Amerika Syarikat, Alex Morgan dan Marta dari Brazil berharap agar lebih banyak perlawanan bola sepak untuk wanita diwujudkan di Malaysia.
“Satu perkara yang saya sangat harapkan untuk Malaysia ialah supaya kami mempunyai lebih ramai pemain wanita dan wujudnya lebih liga dan permainan supaya mereka dapat memperoleh pengalaman yang mencukupi dan pada tahap yang lebih tinggi.
“Nasihat saya kepada pemain wanita negara adalah untuk tidak berputus asa dan tetap komited dengan apa yang anda lakukan.
"Jangan hiraukan kata-kata orang lain yang mengatakan bahawa anda tidak pandai bermain bola sepak.
“Buat apa yang anda mahu buat dan jangan lakukan sesuatu hanya kerana orang lain mahukan anda lakukannya,” kata Celine.
Nama Celine kini mula mendapat tempat dalam kalangan penyokong bola sepak Jerman susulan kejayaannya menjaringkan satu gol untuk pasukan lelaki B-15 Wacker Munchen e.V dan satu lagi gol bersama pasukan kedua B-17 wanita FC Bayern Munich.
Celine sebelum ini telah mengutip gol antarabangsanya yang pertama bersama skuad B-15 wanita Harimau Malaya pada aksi Kejohanan Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) Wanita B-15 2019 selepas menewaskan Kemboja 2-1 di Chonburi, Thailand.
Isabelle Leong
Sat Dec 12 2020
Nama Celine (kanan) kini mendapat tempat dalam kalangan penyokong bola sepak Jerman susulan kejayaannya menjaringkan satu gol untuk pasukan lelaki B-15 Wacker Munchen e.V dan satu lagi gol bersama pasukan kedua B-17 wanita FC Bayern Munich.
JPJ Melaka keluar 275 notis babit pelbagai kesalahan
JPJ Melaka mengeluarkan 275 notis atas pelbagai kesalahan dilakukan pengguna jalan raya pada Operasi Bersepadu Khas di Batu Berendam.
Ribut petir, hujan lebat di empat negeri hingga tengah hari ini
MetMalaysia mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di empat negeri sehingga 12 tengah hari, hari ini.
Ringgit mengukuh sedikit berbanding dolar AS pada sesi awal
Ringgit memulakan urus niaga Khamis dengan mencatat pengukuhan kecil berbanding dolar AS, di tengah-tengah sentimen memberangsangkan.
Protecting Financial Consumers: The role of fair contracts
Are financial contracts truly fair to consumers? Dr. Ong Tze Chin, Senior lecturer in the Faculty of Law, Universiti Malaya walks us through the regulatory landscape in Malaysia, the necessity of these laws, and real-life examples of unfair terms in practice.
Tawaran ambil alih MAHB dilanjutkan sehingga 24 Januari
Konsortium Gateway Development Alliance Sdn Bhd (GDA) yang diterajui Khazanah Nasional Bhd dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah melanjutkan tarikh akhir penerimaan tawaran pengambilalihan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) selama seminggu.
Mesyuarat jawatankuasa kerja ASEAN+3 gariskan keutamaan ekonomi utama ASEAN 2025
Mesyuarat Pertama Jawatankuasa Kerja ASEAN+3 menetapkan Keutamaan Ekonomi Utama (PEDs) bagi ASEAN 2025, antaranya peningkatan akses kepada pembiayaan peralihan mampan dan adil terhadap iklim, kata Kementerian Kewangan.
Thailand sokong Malaysia sebagai tuan rumah AIPA ke-46 - Johari
Perhimpunan Agung Antara Parlimen ASEAN (AIPA) ke-46 yang bakal dianjurkan di Kuala Lumpur, ibu negara Malaysia telah mendapat sokongan yang amat baik dari Thailand.
Jumlah mangsa banjir di Sarawak meningkat sedikit, Johor dan Perak kekal pagi ini
Jumlah mangsa banjir di Sarawak meningkat sedikit manakala di Johor dan Perak kekal setakat 8 pagi ini.
AWANI Pagi :Kurang minat SPM: Perlu empati atau kritikan
Diskusi 8.30 pagi Khamis bersama Dr. Nur Shahidah Paad, Pensyarah Kanan di Jabatan Dakwah dan Pembangunan Insan, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM) membincangkan mengenai psikologi kumpulan pelajar yang tidak berminat dengan peperiksaan penting seperti SPM dan bagaimana cara sewajarnya memberi motivasi kepada mereka untuk mementingkan ilmu menjamin masa depan.
500 tan metrik kelapa sebulan di bawa masuk bermula Februari - KPKM
FAMA mengambil langkah proaktif bagi menangani isu kekurangan bekalan kelapa di pasaran dengan meningkatkan pembelian kelapa tua dari Indonesia.
[EKSKLUSIF] Celine Chuang berkongsi rahsia kejayaan, pengalaman berlatih di Jerman
Beliau yang kini bersama kelab lelaki bawah 15 tahun FC Wacker Munchen e.V turut diberi peluang beraksi dengan pasukan kedua B-17 remaja wanita FC Bayern Munich.