KUALA LUMPUR: Atlet jiujitsu wanita negara mencipta kejayaan luar biasa apabila meraih dua pingat emas pada Kejohanan World Masters IBJJF (Persekutuan Jiujitsu Antarabangsa Brazil) 2022, di Las Vegas, Amerika Syarikat, semalam.

Cassandra J Poyong yang mewakili Team Buda International meraih pingat emas dalam kategori Master 1 Purple Feather diikuti Leda Guadalupa Garcia (GF Team) dengan perak manakala Camilla Lopez (BJJ Revolution) dan Jillian Louise Chalke (Checkmat) berkongsi pingat gangsa.

Seorang lagi atlet Malaysia, Lee Ai Jin yang juga mewakili Team Buda International, mengungguli kategori Master 2 Purple Rooster, manakala Chau Manalansan (Rilion Gracie) menang perak diikuti Federica D' Amelio (Lilius Barnatt Martial Arts) pingat gangsa.

Sementara itu, Persekutuan Jiujitsu Malaysia dalam hantaran di akaun Instagram persatuan menyifatkan kejayaan Cassandra dan Ai Jin di Las Vegas adalah hadiah istimewa sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-65 dan Hari Malaysia.

"Tahniah, Cassandra dan Ai Jin atas kejayaan muncul juara. Kalian teruskan memberi motivasi dan inspirasi kepada masyarakat melalui kerja keras, dedikasi dan pencapaian kalian," menurut hantaran itu.

-- BERNAMA