KELAB bola sepak Denmark, FC Midtjylland, akan mengadakan tayangan bola sepak secara langsung di perkarangan stadium apabila saingan liga bersambung kelak.

Ini bermakna penyokong masih boleh datang ke stadium memberi sokongan, namun menonton siaran langsung perlawanan dari dalam kereta masing-masing.

Idea ini tercetus untuk memastikan penyokong pasukan itu mengamalkan penjarakan sosial selepas sekatan pergerakan ditamatkan. Ia juga selaras dengan arahan supaya perlawanan dimainkan dalam stadium tanpa penonton.

Untuk tujuan itu, kelab tersebut akan memasang dua skrin gergasi di luar stadium selain menyediakan 2,000 tempat letak kereta yang boleh menampung 10,000 penyokong mereka.

Jurucakap kelab menjelaskan kepada ESPN bahawa mereka akan turut memainkan audio pengulas di televisyen yang boleh didengar melalui frekuensi tertentu di radio kereta masing-masing.

Kawasan tempat letak kereta yang diubah suai itu dijangka mampu memuatkan 12,000 kereta.

Pengarah pemasaran Midtjylland, Preben Rokkjaer memberitahu kelab itu mahu memberi pengalaman yang terbaik buat penyokong mereka apabila Liga Super Denmark terpaksa dimainkan tanpa penonton apabila ia disambung semula.